Belanja Raina Raifa ais krim

Monday, June 27, 2011

Rainbow Lala macarons


Assalamualaikum

Sekarang aku dan adik aku sedang seronok bisnes. Sebelum ni kami adik-beradik dah mula jalankan bisnes kecil-kecilan macam adik aku Dhila bisnes berkaitan videography dan adik bongsu aku Bani bisnes berkaitan photography. Ada juga bisnes sampingan yang lain macam jual baju dan tudung. Tudung tu adik aku jahit sendiri ye. Tak ada amik dari supplier mana-mana pun. Macam aku pulak bisnes lebih berkait rapat dengan hal design seperti sticker, label dan lain-lain lagi.

Aku dan adik aku Dhila mahu cuba kembangkan bisnes kecil-kecilan kami ini. Kalau nak kirakan untung taklah besar mana tapi aku rasa puas dan seronok bila bisnes macam ni. So adalah aktiviti lain yang nak di buat di samping menjana pendapat sampingan. Yang penting aku puas hati dan plan nak ada bisnes sendiri tercapai walaupun secara kecil-kecilan saja. Alhamdulilah. Doa-doakan kami mana tahu ada rezeki lebih boleh buka stall pulak. Tengah slow-slow planning ni. Sekarang ni aku berangan je dulu. Hehe.

Aku dan adik aku ada jual macarons. Selain macarons kami ada jual apam polka dot warna-warni, cookies jar, paper bag, label, tag card, sticker dan macam-macam lagi. Cuma sekarang aku busy dengan hal kerja dan hal rumah jadi kurang promote tentang hal ini. Tapi aku tengah cuba juga merajinkan diri untuk promote bisnes kami ini.




Untuk permulaan kami separated kan blogshop kami. Blogshop aku iaitu Rainbow Lala belum lagi update. InsyaAllah aku cuba cari masa untuk update. Atau boleh melihat perkembangan terkini di FB personal aku atau di FB Rainbow Lala.

Ok sekarang ni sana sini ramai memperkatakan hal keenakkan macarons bukan? Tapi sedia maklum macarons harga sebiji di luar adalah sangat mahal bukan? Boleh mencecah RM7 sebiji di Pavillion. Jika ada terjumpa macarons di luar di jual dengan harga murah RM2.50 sebiji sekalipun tetapi saiznya adalah sangat kecil.

Tapi kami di sini menjual macarons dengan harga jauh lebih murah dan macarons kami ini mempunyai saiz yang lebih besar. Saiz adalah lebih kurang saiz biskut marie yang bersaiz sederhana dan lebih besar dari saiz duit 50 sen duit syiling. Ada mempunyai pelbagai perisa seperti oreo, vanilla, lemon, blueberry, strawberry, cuppucino, mint dan coklat.

Untuk pertanyaan bolehlah pm aku di FB : Nurul Jamian. Atau email di ainiee_overmars@yahoo.com / rainbowlala_lala@yahoo.com

Wednesday, June 22, 2011

Minah kilang yang hebat

Kan best kalau pergi kerja boleh sarung jeans. Kami hanya dibenarkan pakai jeans setiap hari sabtu saja

Siapa kat sini pernah kerja kilang? Maksud aku jadi minah kilang kerja sebagai operator pengeluaran di sesebuah kilang? Siapa pernah tu meh sini angkat tangan tinggi-tinggi. Hah aku pun nak angkat tangan jugak. Tak percaya? Percayalah yang aku pernah kerja kilang. Buat kerja-kerja sebagai operator pengeluaran.

Tapi itu cerita lama. Lebih kurang 10, 11 tahun yang lalu. Masa tu aku baru je habis SPM. Lepas SPM sementara nak tunggu result SPM tu tak tahu nak buat apa baik kerja kan? Dapat jugak duit poket. Masa tu ibu dan ayah aku tak bagi aku kerja sebenarnya. Tapi aku nak jugak kerja. Sebab semua kawan-kawan aku nak cari kerja so aku pun nak join jugak. Punya semangat aku dangan geng aku pergi kilang mana-mana yang ada di area Banting tu tanya pak guard tentang kerja kosong kat kilang. Hebat tak kitaorang?

Akhirnya aku di terima bekerja. Boleh dikatakan satu geng aku kerja tempat yang sama. Basic gaji aku time tu taklah tinggi mana. Tapi campur elaun itu ini dan OT boleh tahan jugaklah. Tapi aku kerja tak lama kat kilang yang tu. Dalam sebulan dua je. Sebab tak tahan dengan line leader kat situ.

Pastu aku cuba pulak minta kerja kat kilang berdekatan dengan kilang mula-mula aku kerja tu. Rezeki aku terus dapat kerja. Aku pun pelik entah kenapa aku dulu nak cari kerja mesti kerja kilang. Aku tak mahu cari kerja macam kerja kat kedai baju ke? Kat gerai makanan ke? Atau kat pasaraya ke? Sebab dulu aku set otak aku kerja kilang gaji banyak. Budak lepas SPM apa yang tahu sangat pasal kerjakan? Gaji RM 800 pun dulu aku ingat dah tinggi bebenor. Budak-budak lepas sekolah pegang duit biasalah tu kan?

Kilang yang seterusmya tempat aku kerja ni macam leceh sikit. Siap kena pakai pakaian macam nak pergi angkasa lepas tu. Tutup muka bagai. Cuma nampak mata je. Mula-mula aku tak selesa kerja kilang tu. Aku rasa macam haram jadah je kerja pakai baju macam nak pergi angkasa lepas pastu nampak mata je. Lama-lama tu aku jadi selesa. Aku suka kerja kilang tu. Lagipun aku dah ada ramai kawan baru yang best-best kat situ. Mamat-mamat kat situ pun hencem-hencem tau. Amboi bukan main lagi kau ye Nurul. Haha. Aku plan nak kerja kilang tu sampai aku dapat mana-mana tawaran sambung belajar.

Gaji aku kat kilang tu agak best sikit. Kerja bagai nak rak dan OT hari-hari aku boleh dapat gaji lebih dari RM1K. Memang syok gila time tu. Dapat duit lebih RM1K pergi joli sana sini. Masa tu mana ada tanggungan kan? Pastu ibu dan ayah aku tak mahu sangat duit aku tu. Iyelah budak lepasan SPM je so ibu dan ayah aku cakap anggap je duit gaji tu duit usaha sendiri dan duit poket sendiri. So duit tu aku belilah macam-macam tak ingat dunia.

Aku masih ingat lagi aku pergi beli alat solek brand Maybellin dan Loreal. Masa tu dah bangga bebenor tu dapat pakai lipstick Maybellin. Batak kan aku dulu? Haha. Pastu aku beli rak buku saiz besar. Sebab aku gila kumpul novel. Penuh satu rak buku tu dengan koleksi novel-novel dan buku-buku aku. Aku beli VCD player. Dah rosak pun VCD player tu. Tapi aku masih simpan lagi walaupun ayah aku kata nak humban dalam tong sampah. Aku tetap mahu simpan. Sebab itu adalah hasil dari titik peluh aku sendiri.

Aku kerja kilang tu dalam 5,6 je bulan kot. Selepas tu aku sambung belajar masuk form 6 dan seterusnya aku dapat tawaran dari UITM. Aku memang plan tak mahu kerja kilang untuk jangka masa yang panjang sebab aku nak sambung belajar dan nak kerja lebih baik dari itu. Alhamdulilah impian aku itu dimakbulkan.

Alhamdulilah impian aku nak kerja lebih baik selepas habis belajar telah dapat aku capai. Cuma kalau boleh aku nak cari kerja yang dekat dengan rumah aku selepas ni. Wish me luck

Tapi percayalah kerja kilang walaupun kerja sebagai kuli bawahan je macam operator pengeluaran ni taklah sengkek mana. Kadang-kadang aku rasa kerja kilang gaji diaorang lebih besar dari kerja sebagai kerani biasa di sesebuah syarikat. Eh ye ke? Berapa ye standard gaji kerani? Tapi kerja kilang ada macam-macam elaun, ada OT, ada macam-macam faedah macam simpanan koperasi, unit saham tertentu dan sebagainya. Class tak diaorang ni?

Aku ada seorang kenalan yang kerja kilang di Bangi. Cuba korang teka berapa gaji kenalan aku tu? Gaji dia hampir RM2K sebulan tau. Kenalan aku tu cuma operator pengeluaran biasa saja. Hebat tak dia? Pada aku kira hebat sebab kenalan aku tu cuma kerja kilang tapi dia taklah sengkek yang kita sangkakan.

Sebab itu aku tak pernah nak pandang rendah kat orang yang kerja kilang. Sebab dulu aku pun pernah kerja kilang. Dan aku faham perasaan diaorang. Dan mungkin ada sebab tertentu kenapa diaorang pilih jalan hidup mahu dambakan diri kerja kilang sepanjang hidup diaorang. Sebagai contohnya seperti kenalan aku itu. Sebab taraf kerja kilang zaman sekarang lebih hebat jika nak dibandingkan dengan dulu-dulu.

Aku yang buat kerja-kerja account di sebuah company ni pun tak ada elaun macam-macam tau. Walaupun basic gaji aku agak tinggi bak kata boss aku sekalipun tapi kalau ada macam-macam elaun lagi best kan? Kerja pun semangat je.

'Bos, kasilah elaun. Boleh bos?'

P/s : Gambar-gambar tu semua aku saja je letak. Aku ni kan kalau entri tanpa gambar rasa macam tak best je. Nak jugak tempek gambar walaupun gambar-gambar tu agak selekeh sebab di ambil semasa kami bekerja pada hari Sabtu. Itu yang masing-masing pakai jeans tu. Ada korang kisah entri ada gambar ke tak ada gambar? Kisahkan? Sila sabar dengan perangai poyo aku.

Catatan diari diri

Seronokkan bawak anak jalan-jalan setiap petang. Aku selalunya bawak Raina jalan-jalan sebelah petang macam ni ketika hujung minggu saja. Itu pun kalau tiada apa-apa aktiviti


Aku dapat rasakan rutin aku setiap hari adalah hampir sama. Bangun pagi masak bekal untuk Raina, iron baju, bagi susu kat Raina, tukarkan diaper Raina, mandi, siap-siap pergi kerja, hantar Raina pergi rumah babysitter dan pecut kereta untuk sampai office seawal yang mungkin walaupun aku tahu kadang-kala bagaikan mimpi untuk sampai office awal. Jalan sentiasa sesak macam tin sardin dari Shah Alam ke Kelana Jaya. Tension aku.

Buat kerja sampai pukul 5.30 petang kemas-kemas meja apa yang patut kononnya macam banyak kerja sangat yang kadang-kala hanya duduk termenung lebih banyak dari buat kerja kemudian cabut keluar office secepat mungkin. Kalau datang mood rajin tu aku duduklah lepak 5-10 minit kat office sekejap walaupun jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Mana tahu kot-kot dapat anugerah pekerja cemerlang ke? Walaupun aku tahu tahap prestasi kerja aku macam mana. Saja je tunjuk baik. Haha.

Sampai Shah Alam paling awal pukul 6.30 petang. Kadang-kadang hampir pukul 7 malam. Ambil Raina kat rumah babysitter seperti biasa. Kadang-kadang Saiful yang ambil. Sampai rumah rehat sekejap sambil tengok TV. Part yang ini tak tentu masa. Kadang-kadang aku boleh tertidur depan TV dengan tak mandi. Lewat solat maghrib. Kadang-kadang terlanjak solat maghrib. Penat punya pasal. Kadang-kadang tu aku sampai-sampai rumah je aku pergi mandi dulu. Sebab takut tertidur depan TV. Bila dah mandi, badan pun segar so lambat sikit rasa mengantuk tu datang.

Aku jarang masak kalau hari bekerja. Selalu makan luar ke, tapau ke atau Saiful yang masak. Tapi kadang-kadang tu aku masak jugak. Sebab mengenangkan suami nak makan jadi aku masak jugaklah. Cuma kalau aku penat sangat memang aku tak masak. Kami pun jarang makan malam sejak dua menjak ni. Kata aku diet kan? Haha. Jadi Saiful pun aku tengok macam malas nak makan malam. Ikut akulah tu. Haha.

Sebelah malam tu, main-main dengan Raina. Layan dia berborak. Kadang-kadang bagi Raina makan buah atau makanan yang simple macam biskut ke kemudian baru minum susu. Raina makan malam awal. Babysitter dia bagi makan malam pada sebelah petang sebelum aku ambil dia balik kerja tu. So sampai rumah tu tak ada lagi aku nak bagi makanan berat. Pastu bagi Raina Scott Emulsion sebelum Raina tidur. Pujuk tepuk-tepuk paha Raina suruh tidur yang kadang-kala aku yang tertidur dulu. Apa kes?

Begitulah rutin aku yang hampir sama pada setiap hari. Kadang-kadang aku dah set otak. Sebagai contohnya balik kerja nanti nak baca novel sebelum tidur ke atau nak baca surat khabar sebelum tidur ke. Tapi tak ada maknanya. Kalau aku dah mula baring tu, mata pun kuyu dan memang sah-sah aku akan tertidur.

Kalau time aku nak basuh baju lagi penat. Aku jenis kalau basuh baju 2,3 hari sekali. Hah boleh bayangkanlah berapa banyak kain yang bertimbun. Pukul 12 tengah malam pun belum tentu aku habis membasuh walaupun pakai mesin basuh canggih mana sekali pun. Sebab lepas dah basuh selalunya aku akan terus sidai baju-baju tersebut. Bila dah mula basuh baju tu sambil-sambil tu aku buatlah kerja-kerja sampingan seperti rebus botol-botol susu dan soother Raina ke, masak air ke, kemas dapur ke. Hah memang tangan tu gatal je nak mengemas walaupun tengah malam.

Tapi sejak dua menjak ni Saiful yang selalu basuh baju, sidai baju dan kadang-kala lipat baju. Aku pun tak tahu kenapa laki aku baik semacam sekarang ni? Agaknya dia kasihan tengok aku kot. Ke dia rimas tengok baju menimbun tapi bini dia biarkan saja. Perangai bini dia ni suka tunggu baju tu dah menimbun baru nak terhengeh-hengeh basuh segala. Sila sabar dengan daku encik suami.

Hujung minggu lain sikit. Aku rasa kan aku lagi letih pada hujung minggu. Sebab hujung minggu memang aku akan masak dari pagi sampai petang. Aku bangun awal untuk masak sarapan pagi, kemas rumah, basuh baju dan buat apa yang patut. Aku mandikan Raina dan main-main dengan Raina. Rehat sekejap. Selepas itu dah mula nak masak untuk tengahari pulak. Dan seterusnya masak untuk makan malam pulak. Rutin ini hampir sama saja kecuali kalau aku ada aktiviti kat luar.

Kadang-kadang aku rasa bosan jugak. Pergi kerja, balik kerja, rehat kat rumah, tidur, bangun pagi-pagi untuk pergi kerja balik. Kadang-kadang aku nak perkara yang baru dalam hidup aku. Macam balik kerja tu keluar tengok wayang ke? Atau ronda-ronda KL tengok lampu ke? Eh merepek je aku kan? Kang penat badan je esok nak pergi kerja kan? Atau aku nak balik kerja tu layan DVD sambil goyang kaki ke? Tapi masalahnya aku ni mesti tertidur depan TV. So tak payah beranganlah nak tengok DVD bagai. Kang TV yang tengok aku tidur. Haha.

Hari tu aku sampai rumah, aku tengok sekumpulan wanita pangkat akak-akak kot tengah main bola jaring kat padang depan rumah aku tu. Dalam hati aku ‘diaorang ni tak kerja ke? Hari bekerja petang-petang macam ni main bola jaring?’ Nak je aku tanya diaorang soalan cepumas.

‘Hai kak, saya nak tanyalah akak semua ni suri rumah ke? Petang-petang macam ni boleh pulak main bola jaring. Tiap kali saya balik kerja akak semua ni mesti main bola jaring kat sini’

Agak-agak korang apa jawapan akak-akak tu semua? Ke aku kena sound sebab menyibuk hal orang? Haha.

Tapi aku percaya diaorang semua suri rumah. Sebab apa kadang-kadang aku nampak pagi-pagi aku nak pergi kerja tu diaorang pergi jogging atau diaorang melepak kat kawasan rumah.


Kalau jadi suri rumah boleh menghadap anak 24 jam. Seronokkan? Tapi aku lebih suka kerja sebab ada connection dengan dunia luar. Kalaulah boleh kerja dari rumah seperti bisnes online je kan best? Tapi aku belum ada keyakinan yang tinggi nak fully bisnes dari rumah


Jadi suri rumah memang best tak payah nak fikirkan masalah kat tempat kerja. Aku kadang-kadang ada jugak berangan nak jadi suri rumah. Boleh mengadap anak 24 jam pastu boleh pergi jogging dengan anak setiap pagi ke, main bola jaring macam akak-akak tadi tu pada setiap petang ke. Macam-macam boleh buat kan?

Tapi beberapa sebab kenapa aku mahu terus bekerja. Aku rasa aku akan rasa satu kepuasan bila dapat duit hasil titik peluh aku sendiri. Nak shopping pun pakai duit sendiri. Bekerja tengok dunia luar akan rasa otak aku ini bebas semacam. Walaupun dalam kereta menempuh jalan sesak di highway aku dapat rasakan ada connection diri aku dengan dunia luar dan merasa kebebasan itu. Cuma yang tak bestnya kalau suasana di tempat kerja membawa kepada satu beban yang buat kita tension. Itu yang tak best bagi aku.

Kalaulah aku dapat kerja lain nanti, aku harap office baru aku itu lebih friendly dan tidak ada golongan yang depan kita baik belakang mak ai mulut longkang dan hati busuk maaa. Nak je aku tampar laju-laju. Hah rasakan. Tapi itu aku berangan je. Tak kan aku nak buat betul-betul kot. Haha.

Wish me luck yeah.

Friday, June 17, 2011

Soal anak

Raina ketika dia masih kecil. Time ni tetiba je aku reti dukung budak kecik. Sedangkan dulu aku takut nak dukung budak kecik


Dulu masa baru bergelar pengantin baru, aku memang dah set otak aku mahu enjoy. Aku tak mahu fikir pasal anak. Sebab aku rasa dulu aku tak bersedia nak pukul tanggungjawab yang lebih berat. Nasib baik Saiful setuju. Senyum lebar wei sebab suami setuju je apa aku cakap dan jenis tak kisah. Sampailah satu hari Saiful tanya aku soalan cepumas. Masa tu tak silap aku dah 3,4 bulan kot usia perkahwinan kami.

Saiful : Sayang tak mahu mengadung ke?
Aku : Kan dah bagitahu Nurul tak bersedia lagi.
Saiful : Hari tu kita balik Sekinchan kawan Saiful tanya Saiful bila nak ada anak. Saiful tak kisah tapi bila kawan-kawan tanya tu rasa teringinlah pulak nak tengok Sayang pregnant.
Aku : (Terdiam)

Sebenarnya kalau kita sebagai perempuan plan baik punya pasal hal anak ini tapi percayalah naluri seorang suami yang teringin nak anak itu mesti ada dalam diri seorang suami. Mereka akan rasa tergugat kalau ada di kalangan kawan-kawan mereka sebagai contohnya membicarakan hal sebegini. Ini kesimpulan aku buat sendiri je.

Aku terkedu bila Saiful mempersoalkan hal anak sedangkan kami dah bincangkan perkara ni terlebih dahulu. Puas aku memikirkan perbualan aku dengan Saiful tu. Bila minta pendapat ibu aku pun jawapan tetap sama. Mereka menggalakkan aku supaya mengandung secepat mungkin.

Lebih kurang hampir setengah tahun, barulah aku bersetuju untuk mempunyai anak. Kalau ikutkan hati aku ketika itu aku memang tak ready sepenuhnya. Tapi jauh di sudut hati aku seperti mahukan anak. Naluri itu datang secara tiba-tiba. Tengok kawan-kawan aku dah pregnant macam best je. Lagi satu nak gembira hati semua orang terutamanya Saiful.

Bulan pertama aku dan Saiful mencuba, kami tak berjaya. Masa tu aku punya teruja mengira putaran haid aku. Catat di calendar bagai. Tup tup aku period. Terus rasa sedih. Tak tahu kenapa aku rasa sedih padahal tak ready lagi tu.

Bulan kedua kami mencuba lagi. Masa tu aku dah lewat period dalam dua hari kot. Alhamdulilah aku disahkan mengandung lebih kurang 5 minggu usia kandungan. Serius aku tak percaya. Bagaikan mimpi di siang hari. Cewah.

Bila aku disahkan mengandung, secara tiba-tiba aku rasa diri aku sudah bersedia untuk menanggung tanggungjawab yang lebih berat itu. Walaupun ada rasa takut tapi jauh di sudut hati aku punya naluri keibuan itu secara tiba-tiba.

Aku rasa hidup berdua bersama suami akan lebih bermakna dengan kehadiran cahaya mata. Tidak semua bernasib baik untuk memilikinya. Oleh itu hargailah amanah Allah ini dengan sebaik mungkin.

Aku lihat terlampau banyak kes-kes pembuangan bayi dalam masyarakat kita sekarang. Rasa mahu tampar laju-laju je kepada manusia kejam ini. Anak itu Amanah Allah. Jadi jika kita insan yang bertuah memilikinya hargailah anugerah terhebat ini sebaik yang mungkin. Percayalah setiap saat membesarkan anak itu adalah saat yang paling berharga buat kita.

Thursday, June 16, 2011

Menu si kecil (1) : Roti hirisan epal bersalut telur

Dah lama aku nak buat entri pasal masak-masak dalam blog cap ayam aku ni. Tapi selalu tertangguh-tangguh sebab aku jenis malas nak ambil gambar dan nak tulis setiap step cara memasak tu dengan terperinci. Aku rasa macam leceh je nak terangkan satu-persatu ala-ala Chef Wan tu. Haha. Lagi satu aku rasa aku bukanlah hebat sangat dalam bab memasak. So selalu rasa segan silu sendiri. Bila nak buat entri je mesti dalam hati cakap ‘arggghhh tak payahlah. Buat malu je wei’

Sampailah ada seorang sahabat blogger iaitu Reen atau nama glemer dia Reen Fredo tanya aku perihal menu makanan untuk si kecil. Syok berborak kat chat room FB dengan dia. Boleglah feeling-feeling pandai masak. Padahal taklah pandai mana pun. Cuma aku sejak ada anak ni rajin sikit cuba macam-macam menu untuk anak. Reen punya pujuk aku suruh buat entri kat blog. Lama juga aku nak bersetuju buat entri sebegini.

Ok akhirnya aku bersedia untuk membuat entri masak-masak ni. Ayuh mari kita mulakan memasak. Kali ni menu yang simple, mudah dan pasti disukai oleh si kecil. Menu ini sesuai untuk sarapan si kecil. Raina paling suka roti pisang bersalut telur. Tapi hari tu cuma ada epal je dalam peti ais. Pisang nan ado. So epal pun epal lah ye. Sedap jugakkan?

Bahan-bahan
1) Roti potong
2) Buah epal
3) Telur
4) Minyak masak (lebih elok minyak zaitun atau yang sesuai untuk si kecil)


Cara membuatnya

1) Potong buah epal menjadi hirisan yang nipis dan kecil-kecil.




2) Ambil roti keping dan tekan sedikit supaya menjadi padat.



3) Ambil sebiji telur kemudian kacau sehingga sebati



4) Ambil roti keping tadi dan celup di dalam adunan telur yang telah dikacau tadi. Kemudian ambil beberapa hirisan epal dan letak di atas permukaan roti.


5) Goreng sehingga kuning keemasan.


6) Tapis lebihan minyak. Ok sekarang bolehlah hidangkan kepada si kecil.


P/s : Nak lebih sedap cuba tukarkan buah epal dengan buah pisang. Sebab buah pisang lebih manis. Si kecil pasti suka.

Selamat mencuba.

Tuesday, June 7, 2011

Hari pertambahan umur

Pada 1 Jun yang lalu bertambah lagi umur aku. Cuba teka berapa umur aku sekarang? Agak-agak korang berapa umur aku kalau tengok muka aku? Yang pasti aku bukan muda sangat. Tapi tetap nak berperasaan seperti umur 17 tahun baru nak ambil SPM. Haha. Anak baru satu pada umur sebegini. Bila nak tambah? Soalan cepumas yang selalu diajukan kepada aku.

Normal kot kalau diajukan soalan begitu. InsyaAllah bila Raina dah boleh diharap menjaga adiknya nanti bolehlah aku fikirkan soal menambah ni. Ok tak jawapan aku? Hehe.

Pada umur sebegini bermacam-macam perkara yang aku belajar. Ada yang manis, ada yang pahit, ada yang kelat, ada yang masam, ada yang wangi, ada yang busuk dan macam-macam lagi. Alhamdulilah aku cuba harungi walaupun bermacam-macam perisa dalam erti kehidupan ini.

Oh ye paling best Saiful ingat tarikh keramat ini. Aku ingatkan Saiful tak ingat. Iyelah dia sibuk dengan kerja jadi aku tak sangka dia masih ingat tarikh keramat ini. Hari sebelum hari lahir aku ini dia dah siap-siap bagitahu aku suruh apply cuti. Aku tanya untuk apa? Dia kata nak sambut hari istimewa ini bersama aku dan anak. Tersengih-sengih macam kerang busuk aku dengar suami sendiri cakap macam tu.

Tepat pukul 12 pada 1 Jun hari tu, aku yang sedang tidur dikejutkan oleh Saiful. Terpinga-pinga aku dibuatnya. Rasa macam nak marah pun ada. Aku mengantuk gila wei. Boleh pulak Saiful kejutkan aku dan paksa aku bangun. Bila aku bangun aku lihat ada kek kat hujung kaki aku. Nasib baik aku tak tersepak kek tersebut. Terus aku rasa nak menangis. Terharu sangat sebab tak sangka Saiful nak buat surprise.

Tengah malam tu juga aku dipaksa potong kek dan Saiful suapkan aku kek tu. Kena paksa makan kek beb. Padahal aku tak mahu makan sebab masih dalam keadaan mamai. Jadi makan jugalah sebab tak mahu Saiful berkecil hati. Aku toleh ke arah Raina elok je Raina tidur. Ingatkan nak kejutkan Raina tapi tak sampai hati pula. Disebabkan aku tak sangka Saiful nak buat surprise ni jadi tiadalah moment yang dapat dirakamkan. Tak ambil gambar pun. Tengah mamai macam mana nak ambil gambar kan? Haha.


Terima kasih Saiful.


Terima kasih sebab buat surprise sebegini. Terima kasih juga sebab sanggup ambil cuti nak menghabiskan masa bersama isteri dan anak pada hari istemewa ini. Aku hepi gila sebab bukan senang nak tengok Saiful cuti. Sebab dia jenis kerja tak tentu masa sekarang. Asyik kerja, kerja dan kerja. Jadi aku hargai apa yang dia lakukan walaupun tidak sehebat mana.

Aku cuma berharap dengan pertambahan umur ini, aku dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan terutama dalam soal kerja dan keluarga. Aku juga berharap lebih banyak lagi percapaian yang best dalam hidup aku.

InsyaAllah.

Friday, June 3, 2011

Setahun 6 bulan Raina Evaqairina


Patutnya aku buat entri nie pada dua minggu lepas. Tapi disebabkan mood menulis tu nan ado jadi aku tangguhkan dulu entri nie. Maklumlah mood menulis makin merundum sekarang. Tak tahulah kenapa. Tapi aku cuba jugalah untuk rajinkan diri menulis.

Ok entri nie aku tulis semasa aku malas nak buat kerja. Entah kenapa dari semalam aku dah mula malas nak buat kerja. Pagi-pagi dah duduk termenung kat meja sendiri. Bila mata dah mengantuk tahap gaban mulalah aku pergi toilet. Lepak sekejap kat toilet dan aku boleh tertidur dalam toilet. Haha.

Eh toilet office aku wangi dan bersih tau. Sebab itu aku boleh bantai tertidur dalam toilet. Sedangkan kerja tengah banyak tapi perasaan nak siapkan keja tu nan ado langsung. Bukan tak buat langsung kerja. Buatlah juga kerja tu tapi buat gitu-gitu je.

Sorry bos :D

Pada 19hb hari tu umur Raina genap 18 bulan atau bersamaan setahun 6 bulan. Lagi setengah tahun je lagi umur anak aku akan genap dua tahun. Kejap je kan?

Hari tu aku pergi melawat kawan aku berpantang anak no 2. Anak sulung kawan aku tu sebaya Raina. Tapi umur dia dah dua tahun sebab lahir awal tahun. Raina kan lahir hujung tahun jadi ramai kawan-kawan aku panggil Raina dengan panggilan ‘Adik Raina’ di kalangan anak-anak kawan aku tu walaupun sebaya. Sebabnya Raina belum mencecah umur dua tahun. Anak-anak kawan aku yang sebaya Raina tu kebanyakan dah dua tahun. Jadi Raina boleh beranganlah dia junior lagi. Hehe.

Raina sekarang macam-macam akalnya. Macam-macam keletah yang dia buat. Raina dah pandai merajuk. Kalau dia merajuk kadang-kadang tu dia merajuk terus menyorok kat belakang langsir. Kadang-kadang dia pergi belakang pintu atau belakang TV. Pernah juga Raina merajuk terus berguling-guling atas lantai pastu menangis atau tak mahu langsung bercakap dengan kita sambil palingkan muka. Hah itu tandanya dia tengah merajuk. Selalunya aku tak berjaya pujuk Raina. Tapi Saiful selalu berjaya pujuk Raina. Anak papalah katakan? Eh eh kembang hidung Saiful baca baca blog aku nie. Cit nak termuntah aku. Anak mama juga tau.

Aku suka tanya Raina macam-macam soalan. Macam kita berborak-borak dengan dia. Walaupun aku tak berapa faham bahasa dia tapi aku suka layankan je apa yang Raina cakap. Contohnya aku selalu tanya Raina :

Aku : Raina anak mama ke papa?
Raina : Papa
Aku : Mamalah. Sebab mama yang mengandung dan melahirkan Raina
Raina : Papa

Kalau dengar jawapan Raina nie aku redha je. Memang setiap kali tanya soalan yang sama mesti jawapan Raina pun sama. Saiful mesti bantai gelakkan aku. Sabar je lah

Raina juga dah pandai sebut nama sendiri. Berkat hari-hari ajar dia sebut nama sendiri. Alhamdulilah akhirnya dia dah pandai sebut sendiri. Tapi dia masih tak pandai sebut nama penuh lagi.

Aku : Siapa nama?
Raina : Raiiinaaa
Aku : Siapa nama? (Tanya sekali lagi)
Raina : Nanaaa

Hah macam-macam jawapan Raina. Kadang-kadang dia sebut ‘Raiiinaaa’ dan kadang-kadang dia sebut ‘Nanaaa’. Siap ada irama dan beralun bila dia sebut nama sendiri. Asalkan sebutan tu ada bunyi seakan-akan sama oraitlah kan? Aku dan Saiful akan berikan satu tepukan tanda bagi semangat kat dia. Nanti mulalah dia tersengih-sengih.

Raina juga dah tahu setiap nama anggota badan. Kalau kita tanya mana mata nanti dia kenyit atau pejam mata dia. Kalau kita tanya mana hidung nanti dia tunjuk hidung dia. Kalau kita tanya mana kaki nanti dia tunjuk kaki dia. Kalau kita tanya mana perut buncit nanti dia tunjuk perut dia. Begitu juga dengan anggota badan yang lain.

Sekarang aku tengah gigih nak ajar dia sebut satu-persatu mengenal ABC dan 123. Raina boleh sebut tapi tak berapa jelas bunyi sebutan. Kena usaha lebih gigih lagi. Sebab aku pernah tengok anak kawan aku tu dia dah pandai sebut satu-persatu ABC dan 123. Seronok tengok budak-budak kecil belajar mengenal abjad dan huruf.

Raina juga dah mahir berus gigi sendiri. Aku selalu ajar berus gigi dengan cara aku sendiri jadi model berus gigi. Aku pegang berus gigi aku dan Raina pun pegang berus gigi dia sendiri kemudian aku ajar cara macam mana nak gosok gigi. Alhamdulilah Raina dah boleh berus gigi sendiri Cuma kita kena sentiasa tengok-tengokkan semasa dia sedang memberus gigi tu.

Raina juga dah boleh menyanyi beberapa lagu seperti lagu ‘injek-injek semut’. Kalau korang dengar dia menyanyi mesti bantai gelak sebab dia masih baru nak belajar cakap jadi dia akan menyanyi hujung-hujung patah perkataan je tapi jelas juga bunyi sebutan tu. Aku memang tak ajar langsung Raina menyanyi. Ini semua berkat babysitter Raina yang ajar menyanyi. Alhamdulilah.

Sebenarnya banyak lagi perkembangan yang Raina belajar dan perolehi. Cuma aku malas nak menaip panjang-panjang. Aku Cuma berharap Raina akan belajar lebih gigih lagi dalam perkembangan tumbesarannya. Seronok tengok keletah anak kan? Itulah namanya anak ini anugerah terhebat dan penyeri hidup kita.

Ok nanti aku rajin aku update entri lain pulak ye. Kata nak dapat 12K nuffnang. Beranganlah kau Nurul. Haha.

Assalamualaikum.