Belanja Raina Raifa ais krim

Wednesday, April 29, 2015

Misi borong drypers murah kat Tesco

Sebenarnya Raifa dari newborn, aku pakaikan diapers brand Pet Pet. Masa borong beli keperluan baby di kala perut aku tengah memboyot dulu, aku tak tahu kenapa aku main sauk je ambil diapers Pet Pet. Malas nak fikir pun ye. Dulu time Raina, anak dara tu demand. Raina serasi dengan brand Mamy Poko. Pernah try brand Drypers. Habis naik ruam merah-merah melecet punggung Raina. Terus stop pakaikan Drypers tu. Belikan Mamy Poko serasilah pulak. Nampak benau Raina ni demand. Perangai demand Raina tu terbawa-bawa sampai sekarang. 

Pastu aku ada cuba belikan brand Huggies kat Raina. Brand Huggies tu aku beli sebab terpengaruh dengan novel Ahadiat Akashah. Tajuk novel tu aku lupa yang mana satu. Tapi rasanya 'Legenda Budak Setan' kot. Ada part yang Kasyah dah kahwin dengan Ayu pastu tak lama tu Kasyah dengan Ayu dapat anak. Pastu Kasyah beli brand Huggies untuk anak dia. Nampak benau aku cepat terpengaruh dengan keindahan jalan cerita novel. Pastu berangan-angan. Hahaha. Huggies tu okeh jugak tapi nipis sikit sebab aku beli Huggies warna biru. Ada orang cakap Huggies warna merah lagi best dan tebal. Tapi sebab aku kan suka warna biru so haruslah aku pilih Huggies warna biru. Motif? Kau ke anak kau yang nak pakai lampin pakai buang tu Nurul? Hahaha. So Raina pakai brand Mamy Poko dengan Huggies tu sampailah besar. Bila Raina dah besar sikit aku cuba belikan Raina brand Pet Pet. Alhamdulilah okeh. Raina pakai Pet Pet tu lama jugak. Tapi aku bersyukur sangat, Raina free dari lampin pakai buang masa umur Raina 3 tahun 3 bulan. Jimat duit papa mama kamu Raina. Hihihi.

 
Sedih, stok kat Tesco tinggal saiz besau gabak. So misi nak borong Drypers murah kat Tesco Setia Alam semalam tak berjaya. Kena cari kat Tesco cawangan lain pulak kot-kot ada stok saiz kecik

Ok bercerita pasal misi memborong drypers murah kat Tesco ni, kisahnya aku terpengaruh dengan geng blogger kat group whatsapp. Masa diaorang borong diapers kat Lazada, aku rileks-rileks je tengok diaorang borong beli. Bajet kekonon aku tak terpengaruhlah. Padahal hati dah meronta-ronta masa tu. Tapi it's ok aku duduk tepi rileks-rileks je tengok diaorang borong Drypers. Kita kena setia dengan Pet Pet okeh. Jangan berpaling tadah. Hahaha. Lagipun masa tu fikir Raifa dah serasi dengan Pet Pet so malaslah nak tukar-tukar brand.

Sampailah diaorang kata ada promo best kat Tesco. Harga Drypers dapat harga RM30.90 satu pack. Harga asal dalam RM40 lebih kot. Masa ni memang aku tak senang duduklah kot.  Sambil buat kerja terkenang-kenang. Kau dah kenapa Nurul? Kata nak setia dengan Pet Pet. Arghhh tak boleh jadi, memang dah tak boleh nak duduk tepi rileks-rileks lagi. Apa lagi terus serbu Tesco. Aku nak jugak tahu apa yang best sangat Drypers ni. Dah semua dok pakat borong Drypers. Pada hal masa tu Saiful baru beli stok diapers Pet Pet. Mak tak peduli beli jugak. Biar buat stok diapers kat rumah. Boleh bagi lebih sikit stok diapers kat babysitter.

Bila koyakkan bungkusan nak tengok macam mana tahap bestnya Drypers ni, aku dah jatuh cinta dengan corak-corak kat diapers Drypers ni. Bila aku pakaikan kat Raifa aku berdoa janganlah tak serasi macam kakak dia dulu. Bila cuba pakaikan dan tengok hasilnya, taraaaaa Raifa serasi dengan Drypers wei. Ok lepas ni marilah bertukar pakai Drypers ye Raifa. Lagipun harga Pet Pet kalau tak ada promo rasanya lebih mahal dari Drypers kot. Aku kan suka penjimatan. Jadi marilah bertukar pakai Drypers sebagai langkah berjimat. Ewahhh statement.

 
Maaflah Pet Pet, Raifa dah tukar pakai Drypers. Akan aku kenang jasamu selama ni. Cewahhh


 
Mamy Poko ni kalau tak ada promo, harganya boleh tahan mahal. Sorry Mamy Poko. Raifa tak demand macam kakak dia so aku tak naklah beli kau. Duduklah kau kat rak tu senyap-senyap ye. Hahaha

So semalam dengan semangatnya time lunch hour aku pun keluar pergi terjah Tesco dengan misi nak borong drypers murah lagi. Tapi harapannn tinggal saiz besau gabak je. Saiz kecik nan ado. Kalau ada pun yang pack kecik. Aku kecewa teruslah tolak troli dengan muka sedih. Raifa pakai saiz M. Saiz S pun Raifa masih boleh pakai. Tapi yang tinggal pack besau saiz L dengan XL. Kecewa betul aku semalam.

Dahlah aku semangat dan confident je cerita kat Saiful kabo ada diapers murah kat Tesco. Saiful dah bagi duit peruntukan untuk beli stok diapers Raifa tapi semalam aku balik rumah bawak balik stok barang dapur bukannya bawak stok Drypers.  Aku terfikir jugak balik kerja nak singgah Tesco kat area Shah Alam dekat dengan area Stadium Shah Alam tepi highway tu tapi biasalah malas. Hahaha. Nak ke situ jalan macam tin sardin time orang balik kerja. Malaslah pulak mak nak drive pergi situ. Eh mana boleh malas-malas Nurul. Benda murah ni kena rembat cepat. Nanti stok habis pulak. Banyak boleh berjimat ni. Nantilah aku pertimbangkan. Harap aku dapat borong Drypers murah kat Tesco tu. Jom korang kita borong  Drypers kat Tesco. Jimat berbaloi-baloi

Tuesday, April 28, 2015

Tiba-tiba teringin nak makan


Pagi tadi Saiful dah tapaukan nasi kerabu dengan kuih, tapi on the way nak pergi office tiba-tiba aku teringin nak makan Hash Browns. Sebelum sampai office, terus singgah Mc Donalds tapau Roast Coffee dengan Hash Browns. Sampai dua ketul Hash Browns aku beli. Dasar kuat makan. Hihihi. Taip sambil gelak-gelak sopan.

Hoi kuatnya aku makan. Macam mana nak kurus. Berangan kemain kuat kau Nurul. Azam nak kurus tu ke laut lagi. Selalu sangat aku macam tu. Bab makan jangan di tangguh-tangguh keinginan tu. Teringin je, kasi beli. Kau tangguh-tangguh keinginan, kau yang rugi. Hahaha. Sesekali apa salahnya. Bukan selalu pun aku layan beli Mc Donalds ni. Selalunya kalau aku masak pagi-pagi, aku bawak bekal je. Jimat kaedahnya. Dah ada GST ni kenalah kita berjimat-cermat. Ewah ewah ewah.

Tapi ni sebab semalam Saiful baru bagi duit nafkah, selalu Saiful pesan duit tu nak beli apa-apa beli je lah. Hah terus tak sedar diri laju je tapau breakfast kat Mc Donalds. Laki dah tapaukan nasi kerabu nak jugak makan Hash Browns. Gedik ke apa kau Nurul? Macam aku bagitahu tadi, aku selalunya masak pagi-pagi bawak bekal. Kalau terlambat bangun pagi, aku tapaulah pagi-pagi tu. Menu pun biasa-biasa je macam nasi lemak atau mihun ke. Selalunya menu yang simple-simple je. Pastu apa yang aku tapau tu boleh bawak sampai ke lunch. Berat punggung malas nak start kereta keluar lunch. Lagi satu jimat pun jimat kan. Jarang sangat aku nak bazir duit beli breakfast ke lunch time kerja.

Ni aku baru lepas melantak Hash Brown dua ketul ni tadi. Blurppp kenyang wei. Nanti lunch tak payah makan pun takpe kot. Aku nak keluar cari stok diapers Raifa kat Tesco lunch nanti. Dah kabo Saiful, kat Tesco Drypers harga murah ada promo. Eh masalahnya ada lagi ke promo tu? Takpe lunch nanti kita terjah.

Ok ini entri tak berfaedah. Kata tengah semangat nak update blog. So update je lah apa-apa pun asalkan update dari blog bersawang. Ok aku ada kerja buat. Jom lunch nanti kita pergi Tesco borong Drypers harga murah. Before ni Raifa pakai Pet Pet. Dapat tahu Tesco buat promo terus try beli Drypers. Hei  serius best okeh Drypers. Eh taip lagi kau Nurul. Kata ada kerja tadi. Ok ok aku nak buat kerja. Marilah kita bekerja sekuat hati. Zasssss

Monday, April 27, 2015

Anak perempuan biasanya lebih rapat dengan papa dari mama

Bapak budak anak dua orang. Kemain payah nak ajak laki aku bergambar sekarang ni. Ni pun gambar gegar hah. Bolehlah tu asal ada gambar. Hahaha

Banyak kali aku dengar, orang bagitahu yang anak perempuan kebanyakan lebih rapat dengan bapak dari emak. Dan aku setuju dengan diaorang. Sebab apa, dua-dua anak dara aku memang rapat dengan Saiful berbanding dengan aku. Cuma Raifa ni rapat jugaklah dengan aku sebab dia dari baby menyusu badan, so sebab tu dia agak rapat dengan aku. Tapi lepas menyusu, dia memang cari Saiful. Berkepit tengok tv ke nak makan ke apa-apa je lah kalau Saiful ada kat rumah selalunya Raifa akan cari Saiful. Macam tu jugak dengan Raina. 

Dulu masa anak sorang lagi, aku pernah jugak kecik hati. Selalu terfikir kenapa Raina rapat sangat dengan papa dia dari mama dia. Aku yang mengandung usung perut sana sini, bersusah payah bersalin nak keluarkan Raina, tup-tup Raina rapat dengan papa dia. Raina ni tahap rapat dengan papa dia sampai boleh menangis-nangis cari papa dia. Pernah aku kat Banting beberapa hari tapi Saiful kat Shah Alam, Raina menangis-nangis cari papa dia. Suruh aku call Saiful nak cakap dengan papa dia. Lama-lama tu aku pasrah dan dah lali bila Raina rapat dengan Saiful berbanding aku.

Bila ada anak nombor dua ni pulak, aku bajet mesti si adik rapat dengan aku. Mula-mula tu aku happy sangat sebab memang nampak tanda-tanda Raifa lebih rapat dengan aku dari Saiful. Sampai Saiful cabar aku katanya Raifa akan rapat dengan dia jugak sama macam Raina. Main cabar-cabar pulak laki aku ni. Hamboiiiii. Mula-mula aku malas nak ambil pusing cakap laki aku. Dah sah-sah kot Raifa memang rapat dengan aku sebab aku yang breastfeed dia. Memang masa mula-mula dulu Raifa rapat dengan aku. Sikit-sikit Raifa cari aku. Tapi sangkaan aku meleset, bila Raifa dah besar sikit ni, bila macam-macam akal dia dapat, nampak agak ketara yang dia lebih rapat dengan papa dia. Tahap rapatnya Raifa dengan Saiful, boleh dikatakan tiap-tiap hari dia sanggup tahan mata dia walaupun dia dah mengantuk tunggu papa dia balik kerja. Saiful pulak jenis balik kerja tak tentu masa. Kalau Raifa dah tertidur pun. dia boleh terjaga bila papa dia balik kerja. Kadang-kadang je dia betul-betul terlena tidur tak sedar langsung yang papa dia dah balik kerja.

So betullah kata-kata orang, anak perempuan biasanya rapat dengan bapak dari emak. Sebab dulu masa aku kecik-kecik, aku pun rapat dengan ayah aku. Nak apa-apa pun aku lagi selesa minta dengan ayah aku berbanding ibu aku. Ayah aku pun jenis layan je permintaan anak-anak. Aku ingat lagi, aku teringin nak kasut raya stail tali-tali. Tapi ibu aku macam tak suka kasut stail macam tu. Tapi ayah aku belikan jugak.  Pastu aku teringin nak pergi fun fair kat pekan Banting, ibu aku jenis malas nak layan permintaan kitaorang, tapi ayah aku bawakkan jugak aku dan adik-adik pergi fun fair. Memang kami dulu kecik-kecik lebih rapat dengan ayah berbanding ibu.

Bila dah makin meningkat dewasa, automatik aku jadi segan dengan ayah aku sebab aku perempuan kot. So kalau nak cerita apa-apa aku lagi selesa cerita dengan ibu aku. Tapi satu je perangai aku dari dulu sampai sekarang, aku dengan ayah aku tetap rajin berborak. Ayah aku suka sangat borak hal zaman dia muda-muda dulu. Seronok jugak dengar cerita ayah aku tu walaupun cerita tu sebenarnya dah berulang-ulang kali ayah aku ceritakan kat aku dan adik-adik. Cuma ada topik yang aku rasa selesa cerita dengan ibu, aku akan cerita dengan ibu je. Sebab ibu aku tahu naluri aku sebagai anak perempuan berbanding ayah aku.

Aku fikir, mungkin nanti sampai masa anak-anak aku akan rapat dengan aku jugak. Masa tu diaorang dah meningkat dewasa, nak cerita hal-hal perempuan mungkin anak-anak aku akan cari aku untuk bercerita sama macam situasi aku sekarang dengan ibu aku. Tak mengapalah walaupun sekarang Raina dan Raifa lebih rapat dengan papa diaorang, tapi ada masa-masanya diaorang tetap cari aku bila diaorang perlu

Friday, April 24, 2015

Tentang apa yang Nurul Jamian suka

Assalamualaikum dan Selamat petang.

Aku baru masuk office ni. Ikutkan hati aku malas nak masuk office hari ni. Tapi memikirkan ada audit minggu depan, jadi aku gagahkan jugaklah masuk office hari ni. Ada kerja sikit nak kena buat. Ok sebab aku sekarang tengah semangat nak update blog, marilah kita update apa-apa yang patut hari ni. Aku ada draft satu entri semalam tapi tak siap lagi. So entri tu kita peram dulu. Hari ni kita buat entri baru. Tak ada idea. Tapi malam tadi update status kat FB tanya topik untuk update blog, ada yang suruh tulis tentang diri aku. Selama bertahun-tahun aku berblogging ni, rasanya macam tak pernah secara detail aku cerita pasal diri aku. Eh ke dah ada? Aku lupalah. Kalau dah ada pun entri pasal aku, tak mengapa aku tulis lagi sekali untuk entri ni. Entri ni aku cerita pasal apa-apa yang aku suka dulu ye. Nanti bila rajin aku cerita pasal apa-apa yang aku tak suka pulak. Ok let's go Nurul jangan melencong dari tajuk asal

1) Aku peminat warna biru. Sebab tu kereta aku dan barang-barang aku kebanyakan warna biru. Barang-barang aku tu termasuklah berus gigi, pinggan mangkuk kesukaan aku, tuala mandi, alat tulis yang aku gunakan kat office ni dan macam-macam lagi. selain warna biru, aku suka warna yang ceria macam merah, hijau, purple, kuning dan oren. Tapi biru adalah warna paling aku suka. Apa yang penting aku tak suka warna yang nampak suram dan tak ceria.

2) Dari zaman sekolah sampai sekarang, aku suka kereta Camry. Tak pernah aku berpaling tadah atas minatnya aku terhadap kereta Camry ni. Tahun bila nak dapat pakai? Kereta mahal tu. So berangan je lah. Hahaha.

3) Aku suka pakai pakaian yang tak melebihi tiga warna. Kalau lebih dari tiga warna aku rasa macam badut atau ada yang tak kena. Skima bukan? Kadang-kadang aku memang terasa diri aku agak skima dan teliti. Contoh, kalau baju dah warna biru, dalaman macam seluar dalam dan bra pun aku nak warna yang sama kalau boleh. Tak pun warna lain tapi yang penting jangan lebih tiga warna dalam setiap penampilan. Maksud aku kat sini, baju kau warna biru, tudung kau warna kelabu, bra, seluar dalam kau warna merah dan skirt kau warna hitam. Cuba kira kat situ je dah empat warna. Ok cara pemakaian macam ni dah langgar prinsip pemakaian aku. Hahaha.

4) Aku suka benda atau perkara yang nampak teliti dan tersusun. Contoh kalau pensil box kita ada pen, pensil, pembaris dan alat tulis yang lain, prinsip aku kena susun semua benda tu sehala. Bukan mata pen menghadap sebelah kanan dan mata pensil pulak menghadap sebelah kiri. Pantang betul aku macam tu nampak serabut tak teratur. Oh lagi satu contoh lain, lepas makan kalau guna sudu dan garpu, aku suka susun elok-elok dalam keadaan sehala. Bukan main letak terabur atas pinggan. Lagi satu perangai aku lepas makan aku suka kemas balik meja makan sebaik mungkin. Tak suka nampak berterabur. Kasihan orang kedai nak kemas meja makan kau. Jadi silalah kemas elok-elok sikit lepas makan. Nampak tak perangai skima aku?

5) Aku suka makan segala jenis mee. Paling suka mihun hailam. Aku tak berapa suka nasi. Tapi lately aku banyak pulak makan nasi. Hahaha.

6) Aku suka drive sambil buka radio kuat-kuat. Pastu melalak sorang-sorang dalam kereta. Hahaha

7) Aku suka ketawa kuat-kuat. Siapa dah jumpa aku tahu kot perangai aku. Kalau aku tengok Julia Robert ketawa, aku selalu samakan cara Julia Robert ketawa sama dengan aku. Oh aku sebenarnya memang peminat Julia Robert.

8) Aku suka tengok kuku kaki orang. Perangai aku kalau lelaki muka kacak macam mana pun tapi kuku kaki panjang dan tak potong kuku kaki, aku terus reject lelaki macam tu. Dulu masa sekolah ada seorang mamat ni nak usha aku, memang hensem pun tapi sebab kuku kaki dia tak potong terus aku malas nak layan mamat tu. Hahaha.

9) Aku suka jugak perhatikan gigi orang. Perangai ni lagi menjadi-jadi bila setiap kali tengok drama ke berita kat tv ke, aku suka perhati secara teliti gigi pelakon dan penyampai berita tu. Sebab tu bila kawan-kawan borak dengan aku, mata aku akan pandang dulu gigi diaorang. Aku suka tengok gigi ala-ala Misha Omar. Rahang gigi ke depan dan bila Misha Omar bercakap tu nampak wow uniknya gigi dia ni. Ada lagi beberapa orang yang aku betul-betul suka tengok gigi diaorang. Salah sorangnya manager aku. Rahang gigi manager aku pun macam ala-ala Misha Omar.

10) Aku suka kumpul novel dan hikayat melayu lama. Tak silap aku ada beratus-ratus novel dan beberapa hikyat melayu. Tak kira berapa jumlah sebenar. Sebab novel aku kebanyakan semua aku tinggalkan kat rumah family kat Banting. Sebab kat sana aku ada almari khas untuk letak semua novel aku tu. Tunggulah ada bajet lebih nanti aku beli almari baru letak kat rumah aku.

11) Aku suka bercakap sorang-sorang. Kadang-kadang dalam kereta sambil drive aku boleh bercakap sorang-sorang. Cakap sorang-sorang ni kadang-kadang untuk menaikkan semangat aku. Contoh tengah drive, aku cakap sorang-sorang pasal hal kerja. 'Aku kena buktikan kat bos aku yang aku boleh buat audit tu'. Contohnya macam tu.

12) Aku suka pakai tudung jenis shawl. Nampak lebih muda dari usia. Perasanlah kau Nurul. Hahaha.

13) Aku suka shopping sorang-sorang. Sebab kalau shopping sorang-sorang, tak ada orang control apa yang aku nak beli.

14) Aku suka kumpul kasut anak-anak. Dari zaman Raina sampai sekarang Raifa pulak, hobi ni tak pernah berubah.

15) Aku suka menggayakan pemakaian anak-anak aku. Aku suka mix and match apa anak-anak aku pakai. Disebabkan anak-anak aku perempuan, jadi minat ni makin menjadi-jadi.

16) Aku suka berangan. Bila aku berangan, aku suka usaha kalau aku rasa aku boleh dapatkan apa yang aku nak. Kalau aku tak boleh nak dapatkan, aku beranganlah sampai puas hati. Hahaha.

17) Aku suka tulis whatsapp atau sms panjang lebar kat Saiful. Disebabkan aku suka menulis, whatsapp pun jadi sasaran minat aku dalam menulis. Selalu laki aku komplen kenapa aku suka sangat tulis whatsapp atau sms panjang lebar.

18) Aku suka mencuba benda baru lagi-lagi makanan. Sebab tu kadang-kadang aku selalu cakap kat Saiful nak try makan kat tempat yang belum pernah lagi kitaorang datang dan cuba.

19) Aku suka ingat cerita-cerita lama. Kadang-kadang tak nak ingat lagi-lagi kisah yang tak best tapi perangai aku tetap nak ingat cerita-cerita lama tu.

20) Aku suka no 11. Sebab tu aku kahwin pun bulan November. Aku suka bekas pemain bola sepak Arsenal pun jersey no 11 iaitu Marc Overmars.

21) Aku suka tengok bola sepak. Minat aku ni mengalahkan Saiful. Aku perasan aku minat bola sepak start aku form 3 kalau tak silap aku.

22) Disebabkan aku suka bekas pemain Arsenal Marc Overmars, aku menggunakan alamat email aku pun nama dia Overmars.

23) Aku jenis orang sayangkan barang. Kalau barang tu aku betul-betul suka dan sayang, aku akan jaga elok-elok. Contoh koleksi novel-novel aku. Kebanyakkan aku balut kemas-kemas novel-novel aku dan siap dengan penanda buku. Sebab kepantangan aku orang baca buku lipat buku tu. Sila guna penanda buku. Skima lagi. Hahaha.

24) Aku suka letak koleksi kasut-kasut aku dalam kereta. Dalam kereta aku penuh dengan kasut-kasut aku. Pernah sekali tu Saiful dah masukkan semua kasut-kasut aku dalam plastik pastu saiko aku nak buang semua kasut-kasut aku tu. Hahaha.

25) Aku suka pendam benda yang tak best dalam hati. Biarlah aku simpan je dalam hatiku ini. Cewahhh.

26) Aku suka beli barang kat Ikea dan paling suka melepak jika free kat Ikea

27) Aku suka perkara yang berkaitan dengan seni

28) Aku suka subject sejarah. Sebab tu aku suka baca hikayat melayu lama. Kalau kat tv ada rancangan berkaitan sejarah, macam dokumentari hal-hal sejarah, aku boleh layan tengok sampai habis.

29) Aku suka pemakaian konsep color block tapi dengan syarat tak boleh melebihi tiga warna dalam setiap pemakaian.

30) Aku suka dengar lagu-lagu inggeris lama. Macam lagu-lagu dari The Beatles.
 
31) Aku suka edit gambar menggunakap Snapseed.

Oklah rasanya dah panjang sangat aku tulis ni. Syok sangat menaip sampai panjang berjela aku tulis ni. Oklah aku ada kerja nak kena buat. Nanti kalau rajin aku update lagi ye. Ok mak nak buat kerja sikit untuk audit. Zasssss

Ini gambar lama. Sesekali berselfie

Thursday, April 23, 2015

Fattah Amin, kenapa kau kacak sangat?

Fattah Amin. Gambar dari makcik gugel

Aku ni jarang layan drama melayu. Bukan langsung tak layan tapi jarang-jarang. Sejak ada anak ni, masa tu macam terkejar-kejar. Kalau hari bekerja tu bila balik kerja pun dah lewat. Nak masak, kemas rumah, ajar Raina membaca pastu check homework Raina dan macam-macam kerjalah. Kalau hari cuti Sabtu Ahad pun sama jugak. Kemas rumah, layan anak-anak dan kadang-kadang keluar bawak Raina dan Raifa jalan-jalan hujung minggu. Jadi disebabkan kesibukan aku tu, aku jadi jarang tengok tv. 

Tapi disebabkan Raina kaki tengok cerita drama, kadang-kadang aku sama terjebak layan tengok drama melayu. Raina ni bukan setakat drama melayu je dia layan, cerita hindustan pun dia layan okeh. Pernah sekali tu aku dah mengantuk nak tidur tapi anak dara aku tu boleh kusyuk layan tengok cerita hindustan. Raina ni perangai dia, kalau tidur lambat macam mana pun, selalunya dia senang nak bangun pagi pergi school lagi-lagi sejak dia tukar sekolah Genius Aulad ni. Sebab tu aku tak kisah sangat Raina jenis tidur lambat. Sebab kalau aku sekat dia tak bagi tengok tv sampai malam pun, dia akan terkebil-kebil mata tak boleh nak tidur. Bangsa tidur lewat anak-anak aku ni. Raifa pun sama dah terikut-ikut cara kakak dia. Tidur lambat tapi bangun cepat. Hah itulah perangai anak-anak aku.

Kalau korang nak tahu, baru-baru ni aku dah terjebak layan cerita drama kat tv 3 tau. Tajuk cerita drama tu 'Bencinta'. Sebelum tu aku ada terjebak tengok cerita 'Istiharah Cinta' dan 'Teman Lelaki Upahan'. Bila layan tengok cerita-cerita drama melayu tu, boleh pulak aku syok tengok hero-hero dalam cerita drama tu. Bila aku cakap kat laki aku pasal hero dalam cerita drama tu, kemain laki aku cakap tak hensem langsung. Laki aku cakap, dia lagi hensem. Sila muntah hijau. Mamat tu jeleslah tu. Hahaha.

Tapi sekarang ni, aku betul-betul syok habislah kat pelakon Fattah Amin hero dalam drama 'Bencinta' tu. Adoiii kacak betul kau ni Fattah. Tapi sebab kau ni hanya pangkat adik-adik aku je pasal umur kau pun baru 24 tahun kot, so akak buat kau jadi adik angkat je lah. KahKahKah. Kalau korang nak tahu siapa Fattah Amin tu, malam ni dalam pukul 9.30 ke 10 macam tu, pergi laju-laju buka tv 3 dan korang tengok drama 'Bencinta' tu. Lagu dalam cerita drama tu pun best wei. Aku siap boleh berangan-angan tu. Serius best cerita ni. Tahap best cerita ni sama macam cerita 'Istiharah Cinta' dan 'Teman Lelaki Upahan'.

Jom tengok cerita drama 'Bencinta' ni. Gambar dari makcik gugel

Sebelum ni aku ada perasan Fattah ni pernah berlakon dalam beberapa drama. Ada satu drama tu, tajuk drama aku tak amik port, aku siap kutuk Fattah ni. Masa tu dia kurus sangat. Macam tak sesuai jadi hero. Tapi sekarang tengoklah badan dia dah macam badan Aaron Aziz pulak aku tengok. Cuma dia kecik sikit je dari Aaron Aziz. 

Aku ni tak ada pelakon drama yang betul-betul aku boleh suka sampai tak pandang orang lain kot setakat ni. Dulu masa kecik-kecik suka Rusdi Ramli dengan Azhar Sulaiman. Pastu dah tua-tua bangka ni suka Aaron Aziz pastu tak minat dah sebab Aaron putih sangat. Mak tak berkenan sangat lelaki kulit cerah macam tu. Pastu aku minat sangat dengan Remy Ishak. Tengok kulit Remy Ishak, melambangkan kekacakan seorang lelaki okeh. Hahaha. Pastu aku minat pulak kat Zul Ariffin. Tapi kejap je aku minat Zul Ariffin tu. Minat masa tengah hangat cerita drama 'Istiharah Cinta' tu je. Lagipun Zul Ariffin tu pun kulit cerah jugak Tak cukup macho bagi aku kalau lelaki kulit cerah ni. Jangan marah Zul Ariffin. Lepas Zul Ariffin, terbaru ni aku minat dengan Fattah Amin. Aku rasa tahap minat aku kat Fattah Amin ni memang betul-betul minat kot. Banyak ciri-ciri yang aku suka tengok dia ni. Eh ni minat sebagai peminat je. Mak kan dah ada laki. Heppppp! Jangan laki aku jumpa entri ni baca blog aku sudahlah. Hahaha.

Ni aku baru je gugel tau, hah tu IG Fattah Amin. Nanti kalau aku ada mood layan IG aku nak follow IG Fattah Amin. Saja suka-suka. Aku memang tak ramai follow artis tau kat IG. Aku rasa aku cuma follow artis Fazura je kot. Artis lain tak sure. Mak lupalah. Maklumlah jarang layan IG.

Instagram Fattah Amin. Silalah follow. Gambar dari makcik gugel

Geng jangan lupa malam ni buka tv 3 tengok cerita drama 'Bencinta'. Dari tadi asyik teringat pasal drama 'Bencinta' ni. Serius cerita ni best bagi akulah. Kalau orang lain tak tahulah pulak. Tak percaya tengok dulu cerita drama ni. Best sebab kau minat hero dalam cerita drama ni kan Nurul? Hahaha

Instagram bukan kawan baik aku


Aku ni boleh dikatakan agak lambat ada akaun instagram (IG). Sebab dulu aku pakai hp Blackberry je. Hp Blackberry mana boleh buat akaun  instagram. Jadi aku telan air liur je tengok kawan-kawan dan adik-adik aku ada akaun IG sendiri. Sampai satu tahap aku siap berangan-angan nak ada akaun IG sendiri. Tapi dalam masa yang sama aku sayang betul dengan hp Blackberry aku ni. Sebab aku memang suka hp jenis ada keypad. Aku tak minatlah hp jenis touch-touch ni. Macam menyusahkan je nak touch-touch. Nanti nak taip sms mesti banyak typo. Tangan aku dahlah macam gajah bukannya jenis halus-halus. Sebab tu hp aku tak canggih. Perangai aku asalkan boleh call, boleh sms dan hp mestilah jenis keypad bukan touch-touch ni. Eh lagi satu, dulu pun aku tak ada whatsapp tau. Lambat jugak kot aku ada whatsapp sendiri. Orang lain dah layan group whatsapp aku dok ralit layan twitter. Aku dulu memang aktif dan suka sangat layan twitter. Pastu entah macam mana entah boleh terbuka hati aku nak download whatsapp dan akhirnya terjabaklah aku dengan whatsapp. Pastu jakun sendiri. Hahaha. Dahlah Nurul tajuk kau pasal instagram bukan whatsapp. Suka benau melencong dari tajuk asal. Ok mari berbalik pada tajuk asal.

Sampaikan satu tahap, hp blackberry aku dah tak dapat diselamatkan lagi. Puas dah aku ketuk sana, ketuk sini, tak mahunya cik berry aku tu on. Gelap gelita je screen hp. Siapa suruh kau ketuk sana sini. Memang terus gelap gelitalah screen hp kau Nurul. Cik Berry pun satu, dah kenapa dan-dan tak boleh nak on? Aku pulak jenis tak menyabau. Teruslah aku ketuk-ketuk hp tu dengan harapan bolehlah hp tu on. Harapannnnn. Memang tak ada maknalah hp tu boleh on kalau dah main ketuk-ketuk hp kan. Tukang ketuk hp tu pun ganas sangat pakainya. KahKahKah.

Masa hp Blackberry aku tu buat hal, aku tengah sarat pregnantkan Raifa. Dahlah tak ada hp spare. Nak beli hp lain rasa macam sayang duit. Pastu masa tu pun banyak nak guna duit buat persiapan nak sambut baby baru. Memang tak nafikan masa tu, memang beriya-iya aku beli macam-macam nak sambut baby baru. Laki aku pulak saiko aku cakap tak payah nak beli hp baru lagi. Semua benda pun aku jahanamkan. Laki aku bising sebab hp Blackberry tu kiranya dia yang belikan. So laki aku cakap lepas ni jangan nak minta hp baru kat dia. Pasrahlah aku time nak sarat bersalin hp rosak pulak. Pastu aku pakailah hp zaman batu yang ibu aku bagi pinjam. Masa tu aku fikir kalau nak beli hp baru pun tunggu lepas bersalin je. Sebab masa tu memang aku tengah tunggu hari nak bersalin. Tak kuasalah mak nak beli hp tengah sarat tunggu hari nak beranak je masa tu.

Sampailah aku bersalinkan Raifa pada January 2014 tahun lepas, aku masih pakai hp zaman batu. Itu sebab aku lambat bagitahu kat kawan-kawan yang aku dah selamat bersalinkan Raifa. Habis tak boleh nak online macam mana nak bagitahu. Nampak jugak kepentingan internet dalam hidup aku. Mana kawan-kawan aku yang kenal adik aku Dhila, diaorang tahulah yang aku dah bersalin. Sebab adik aku ada update kat facebook dia. Sampailah satu tahap aku fikir punya fikir, yang aku kena jugak beli hp baru. Masa tu tengah berpantang. Bosan okeh pakai hp zaman batu tak boleh nak online. Mak layan baca buku ilmiah je masa pantang tu. Hamboi baiknya. Hahaha.

Akhirnya aku tewas jugak dengan godaan duniawi bahawasanya hp yang berkualiti tu sangat penting bagi aku. Lagipun hp zaman batu yang aku pakai tu macam leceh. Nak sms pun macam alahai lecehnya nak tekan itu ini baru boleh send sms. Akhirnya aku pun beli hp baru masa dalam pantang dengan minta bantuan adik aku Bani yang temankan aku masa tu. Dan akhirnya aku terjebak jugak dengan hp jenis touch-touch ni. Habis tu yang aku tengok banyak sangat model jenis touch. Aku kan ada bagitahu, aku jenis tak menyabau. So aku rembat je lah asalkan Samsung. Sokonglah brand Samsung. Ewah Ewah Ewah. Promote nampak. Hahaha.

So secara rasminya aku ada IG sendiri awal tahun lepas. Masa tu senyum lebar je sebab aku dah ada IG sendiri. Biasalah benda baru mesti macam semangat lain macam pastu jakun macam apa je. Mula-mula tu aku kemaruklah layan IG je. Sikit-sikit nak layan IG. Lama-kelamaan aku rasa macam biasa je IG ni. Aku ni mudah rasa bosan. Lagi-lagi kalau yang tak kena dengan jiwa aku. Memang cepatlah aku rasa bosan. Aku rasa IG tak kena dengan jiwa aku. Banyak sebab kenapa. Salah-satu sebab, yang aku perasan layan IG ni cepat habiskan data internet aku. Eh eh ni yang mak tak berkenan ni.  Lama-kelamaan aku macam endah tak endah je dengan IG ni. Pastu kalau dah follow IG instashop ke orang yang femes-femes ke, tak sudah-sudah nak review produk ke bisnes online orang lain. Aku rasa agak serabut kat situ. Banyak lagi sebab. Tapi ada jugak kelebihan dan bestnya IG ni cuma sejujurnya IG ni tak kena dengan jiwa aku dan bukanlah kawan baik aku yang sampai setiap masa pun aku nak layan IG. Oh no no no. Mak bukan kaki layan IG.

Sekarang ni pun aku kurang layan IG. Ada masa-masa tertentu je aku layan IG. Dalam sebulan tu maybe dalam 2,3 kali je aku layan IG secara teliti sampai hampir berjam. Kalau tak, aku hanya upload gambar tanpa layan timeline IG. Perangai aku upload je gambar kat IG tapi jarang nak layan IG. Upload gambar pun bukan jenis hari-hari pun. Ikut mood. Lagi pun aku lately jaranglah nak ambil gambar pastu upload. Faktor usia kot. Tak kuasalah aku sikit-sikit pegang hp ambik gambar. Kalau ada mood adalah aku pegang hp ambik gambar. Kalau mood tengah tak ada, memang taklah aku nak ambik gambar. Tu sebab aku rasa kagum tengok orang yang rajin ambil gambar pastu kerap update IG. Pastu edit gambar cantik-cantik pulak tu. Memang kagum betul aku dengan jenis orang macam ni. Yang bestnya IG ni orang edit gambar tu cantik-cantik. Aku suka tengok.

Tapi sesiapa ada akaun IG tu boleh je nak add aku. Cari je Nurul Jamian. Jumpalah akaun IG aku tu. Sebab ada jugak gambar-gambar yang aku tak pernah upload kat mana-mana tapi aku upload kat IG je. Sebab kadang-kadang aku rasa selesa upload gambar kat IG je berbanding kat facebook. Itu yang akau bagitahu tadi, ada jugak kelebihan dan bestnya IG ni cuma sebab tak berapa kena sangat dengan jiwa aku, tidaklah aku layan sangat IG ni.

Sorry instagram, kau bukan kawan baik aku. Jangan merajuk. Hahaha

Wednesday, April 22, 2015

Aku stress bila rumah bersepah

Perangai aku dari dulu memang suka tengok keadaan rumah yang nampak kemas dan teratur. Walaupun rumah aku kecik je ruangnya tapi aku cuba sedaya-upaya nak nampakkan rumah aku sentiasa kemas dan teratur. Perangai aku ni sampai tahap ada secebis kertas atas lantai pun aku dah bising membebel-bebel. Hoi sakit mata tengok atas lantai ada barang tak sepatutnya. Tapi bila anak dah dua orang ni, tak payahlah kau nak berangan rumah tu sentiasa nampak kemas dan teratur. Mungkin boleh nampak cantik elok je berkemas rumah tu tapi tak sampai beberapa jam, rumah akan jadi huru-hara.

Dulu masa Raina kecik lagi, aku malas nak deko rumah. Masa tu keadaan rumah aku pun sempoi je. Perabot pun tak banyak lagi. Bila Raina dah besar sikit, baru aku ada hati nak deko rumah, nak cat rumah dan tambah sikit-sikit beli perabot. Raina pun aku dah ajar apa yang patut. Macam jangan nak usik sebarangan barang dalam rumah atau aku siap warning jangan conteng perabot atau dinding. Mula-mula tu eloklah anak dara tu dengar cakap aku. Tapi dah kata namanya budak kan? Senyap-senyap dia amik pen ke pensil  then dia conteng perabot. Sampaikan breastpump Spectra M1 aku pun dia conteng. Nak menangis ke nak gelak ni? Huwaaaaa Raina kenapa tak dengar cakap mama ni. Dahlah perabot rumah aku banyak warna putih. Mulalah aku jadi tarzan.

Raina, mama bagi masa 5 minit je, padam balik apa yang Raina conteng

Lajulah anak dara tu cari pemadam dan kain basah nak lap hasil mural dia tu sampai hilang. Kalau pakai pen marker? Tak menangis kau kat tepi bucu meja tengok hasil mural anak kau? Nasib baiklah hasil mural Raina tak banyak. Raina pandai tau, dia conteng kecik-kecik je hasil contengan dia. Bajet mama dia tak perasanlah. Dia tak tahu mama dia ni jenis teliti satu-persatu. Hahaha.

Dalam gambar ni memang nampak macam tak teruk sangat tahap sepahnya rumah aku. Tapi reliatinya memang bersepah sana sini. Sebab permainan anak-anak aku jenis bukan bersepah satu tempat tapi merata-rata. Ada sampai satu tahap aku rasa nak humban buang semua permainan dalam bakul merah tu. Sebenarnya aku dah buang separuh permainan dalam bakul merah tu. Sebab dah tak muat permainan nak sumbat dalam bakul. Tapi paling tak berkenan permainan jenis kecik-kecik. Memang aku humban buang. Sorry anak-anak mama kamu ni lain pesen sikit bila berkemas

Dah sepahkan permainan dalam bakul, nak jugak Raifa ni pergi kat corok-corok sudut tu kutip apa entah. Port terbaru Raifa sekarang duduk kat tepi bakul kain baju kotor dalam bilik atau kat dapur area peti ais. Apa yang dia suka sangat pergi kat situ aku pun tak tahu

Bila Raina dah ada geng, adik dia ni lagilah menjadi-jadi perangai dia. Raifa pun boleh tahan perangai dia. Baru-baru ni Raifa conteng dinding dengan kerusi. Disebabkan Raifa kecik lagi aku pun berlagaklah cool. Dalam hati rasa nak menangis tengok hasil contengan anak-anak. Raifa bukan tahu apa pun. Bila tegur dia tahu tersengih-sengih sambil tunjuk hasil contengan dia tu. Tak mengapalah adik. Kamu kecik lagi. Mama layankan je perangai kamu ye. Nasib baik conteng pakai pensil je. Raina pun satu, suka sangat sepahkan barang-barang dia. Itu pasal adik kutip ambik dan main conteng-conteng.

Baru-baru ni Raina main bedak siap campurkan bedak tu dengan air. Habis sofa kena bedak. Siap ajak adik dia main sekali. Aku ingatkan apalah dua orang anak dara ni buat sambil tergelak-gelak. Rupanya ada project baru, main bedak campur air pastu sapu kat merata tempat. Ini yang mama nak jadi tarzan. Bila tegur masing-masing pandai pulak tu senyap je. Hamboi si adik pun sama tak padan umur baru setahun dua bulan tapi perangai dah macam orang besar. Siapa lagi yang ajar kalau bukan Raina.

Disebabkan aku ni cepat stress dan rasa tak selesa bila tengok rumah tak kemas dan teratur, aku akan cuba sedaya-upaya minimakan mana-mana sudut yang bersepah. Sanggup aku tengah malam bangun kemas rumah. Kadang-kadang menyapu dan lap habuk lagi tengah malam pun ada. Aku macam pernah dengar ke baca kat mana entah, menyapu rumah tengah malam tu tak elok. Tapi hatiku tak tertahan lagi bila tengok keadaan rumah bersepah. Terpaksalah capai penyapu dan sapulah aku tengah malam sambil mengemas ala-ala Cindrella. Hahaha.

Longgokan baju yang entah berapa minggu punya longgokan baju. Silap-silap berbulan punya longgokan kain. Tak senonoh punya perangai kau Nurul. KahKahKah. Sorry aku paling tak suka lipat baju okeh

Ok dah lipat sikit. Ada lagi sikit baki longgokan kain tu, tunggu ada mood baru sambung lipat baju. Kira okehlah tu lipat jugak baju dari tadi dah rupa Gunung Kinabalu. Ni dah rupa Bukit Tinggi. Gunung ke bukit tu satu pencapaian yang kira boleh dibanggakan tu kalau nak disamakan dengan longgokan kain. Erk? Layannnnn

Aku ada satu tabiat di mana aku paling tak suka lipat baju. Aku suka basuh baju je. Suka basuh baju tapi tak suka lipat baju. Sebab perangai aku macam ellergic betul tengok longgokan baju kotor. Memang asyik kerja aku nak basuh baju je. Sampai kena sound dengan laki aku okeh.

Sayang ni tak sudah-sudah asyik nak basuh baju je

Maaflah kat bini awak ni Saiful. Dah memang pesen bini awak hobi dia suka basuh baju. KahKahKah. Aku seminggu sampai 3,4 kali basuh baju. Kadang-kadang lebih dari tu. Jenis aku kalau aku rasa mata aku macam tengok semak je bakul baju kotor tu ada isi dalam dia, memang laju-laju aku pergi basuh. Tapi lipat baju aku tak suka. Apa kejadahlah perangai macam tu. Nak ambik mood lipat baju tu kemain susah. Aku kalau nak lipat baju, aku kena betul-betul ada mood. Kalau tak ada mood, aku lipat je baju, tapi nanti aku biarkan je atas katil. Alasan sangat kau ni Nurul. Kasihan laki aku, nak cari baju, kenalah pungguh longgokan baju atas katil. Silalah bertabah ye Saiful pungguh longgokan baju-baju tu. Nanti mulalah dia perli aku.

Katil Raina ni Saiful beli memang untuk letak baju ke Sayang?

Alaaaaa kasi rilekslah. Dah anak dara awak tak suka tidur atas katil tu. Raina sekarang suka tidur depan TV. Bentangkan toto kadang-kadang tu siap berlapis-lapis lagi aku bentangkan toto dengan comforter, bawak bantal busuk dia tidur depan TV. Pujuklah macam mana pun tak mahunya dia tidur atas katil dia. Raina kan ratu drama. Lepas layan drama atau cerita apa-apa kat TV, then dia sendiri tutup TV tu dan tidur. Sebab tu Raina suka tidur depan TV.

Kalau nak cerita pasal rumah bersepah ni banyak sangat. Aku rasa nak kemas rumah ni kalau cuti Sabtu Ahad tu pun tak cukup nak kemas satu rumah. Bajet macam rumah kau besar sangat ke Nurul? Rumah sekangkang kera fefeling rumah besar. KahKahKah. Bukan apa, perangai aku, kalau nak kemas rumah tu jenis teliti. Sampaikan kerusi meja makan pun aku sental satu-persatu bersihkan. Kadang-kadang kalau aku terlebih rajin, aku siap sental bersihkan toilet walaupun tugas bersihkan toilet tu tugas kerja Saiful.

Macam aku bagitahu tadi, walaupun aku dah kemas beriya-iya lepas tu keadaan rumah akan jadi huru-hara semula sebab anak-anak suka sepahkan rumah, tapi aku cuba minimumkan mana-mana sudut yang nampak bersepah. Tapi kadang-kadang tu, aku ada sampai satu tahap aku biarkan je semua bersepah. Bagi can lah kat budak-budak nak sepahkan rumah. Aku biarkan je beberapa jam. Lepas tu, tiba-tiba dengarlah aku bagi arahan.

Ok Raina jaga adik. Semua pergi ke depan. Raina tolong kutip barang-barang kat depan tu. Mama nak kemas rumah sekarang

Masa tu kelang-kabutlah anak-anak aku tolong aku kutip barang-barang diaorang. Ok terus aku zasssss kemas rumah. Perempuan ni senang kata dia mana reti rasa penat. Ada je dalam kepala otak perempuan ni fikir nak buat apa. Macam akulah, walaupun cuti hujung minggu, otak aku ligat je fikir nak buat apa lagi ni? nak buat apa lagi ni? Walaupun kadang-kadang datang mood malas melampau tapi still fikir nak buat kerja apa. Itulah hebatnya perempuan

Tuesday, April 21, 2015

Cara-cara aku mengajar anak membaca

Belajar rajin-rajin, nanti guru besar rotan kamu. Faham tak Raina? Hahaha

Aku start ajar Raina membaca secara konsisten sejak Raina mula sekolah kat Genius Aulad. Masa tu aku betul-betul gelabah ayam sebab anak aku tak reti membaca. Tengok anak kawan aku Iris sebaya Raina dah pandai membaca, memang buat aku gelabah tahap apa je masa tu. Lepas tu bila aku tanya dengan geng sekolah kat group whatsapp, kebanyakan anak-anak kawan aku semua dah pandai membaca. Lagi gelabah ayam aku wei. Huruf ABC pun Raina macam blur-blur bila aku tanya. Aku agak Raina menghafal selama ni bukannya faham. Sebab apa tau bila aku suruh Raina baca ABC, Raina laju je baca ABC tu sampai Z. Maknanya Raina menghafal bukannya faham untuk kenal huruf. Cuba kita tanya Raina satu-persatu.

Raina, mana huruf R?

Raina tunjuk kat mama mana huruf N?

Raina ini huruf apa?

Tergaru-garu kepala, tergaru-garu sana sini sambil buat muka blur nak ingat itu huruf apa. Apa lagi tak mengelabah kau bila anak kau tak tahu jawab itu huruf apa. Dah sekolah tadika setahun tapi boleh pulak budak ni tak kenal huruf. Mengelabah ayamlah aku hoi. Ada lah satu, dua huruf tu Raina kenal tapi tak semua huruf Raina kenal.

Apa lagi, terus aku buat jadual untuk Raina. Dengan segera ajar Raina membaca. Jangan main-main Raina, awak tahun depan dah sekolah rendah masuk darjah satu. Mula-mula aku ajar Raina membaca guna buku sekolah PASTI. Sebab Raina dulu sekolah PASTI, so aku bajet mesti senang Raina nak faham konsep belajar guna buku sekolah PASTI. Aku jugak sediakan buku tulis kosong dan aku tulis satu-persatu huruf dan ajar Raina kenal huruf menggunakan buku tulis tersebut.

Ingat senang nak ajar Raina? Memang masa mula-mula dulu boleh dikatakan hari-hari aku jadi tarzan. Menangis-nangislah Raina. Bila lepas sesi belajar, aku minta maaf kat Raina dan terangkan kenapa aku buat macam tu kat Raina. Aku tahu Raina stress. Bila dia stress dia tak boleh nak faham apa yang aku ajar. Aku pun lama-lama jadi stress. Sampai satu tahap aku rasa nak menangis. Kenapa anak aku macam ni? Kenapa? Bayangkan aku ajar Raina bukan sekejap. Kadang-kadang dekat satu jam. Kadang-kadang satu jam lebih. Mana tak stress masing-masing. Raifa duduk sebelah aku tengok je mama dia ajar kakak dia. Pandai pulak tu Raifa duduk diam je tengok aku ajar Raina membaca.

Sampailah aku terjumpa satu set buku 'Bacalah Anakku'. Aku memang dah lama nak beli buku ni tapi bila aku gugel, ada yang jual online.Tapi aku tak beli online sebab yang aku jumpa orang jual online, macam leceh je ada step-step dia kalau nak beli set buku tu dengan dia. Tak kuasa mak. Aku kan jenis tak menyabau. KahKahKah. So satu hari tu aku pergi kedai buku kat Banting. Kebetulan aku balik Banting sebab nak buat persiapan birthday party Raifa dan aqiqah untuk Raina dan Raifa bulan lepas. Rezeki aku, kat kedai buku tu ada jual set buku yang aku nak tu.

Set buku 'Bacalah Anakku'. Gambar hasil makcik gugel

Set buku 'Bacalah Anakku' ni yang suggestkan kat aku  tu Ojel kawan sekolah aku. Anak dia, Iris pandai baca buku guna set buku ni. So aku rasa terpegun dengan cerita kawan sekolah aku ni. Bila aku gugel dan baca, rupa-rupanya ramai yang suggest suruh beli set buku ni. Jadi secara rasminya aku secara konsisten ajar Raina membaca guna set buku ni sejak bulan lepas. Tak silap aku ada 8 siri buku. Raina baru baca buku siri no 3. Buku siri no 3 tu pun dah nak habis Raina baca. InsyaAllah tak lama lagi masuk buku siri no 4 pulak. Perangai aku biar lambat asalkan anak aku faham betul-betul.

Bila aku kaji balik, rupanya aku banyak buat silap bila mengajar Raina. Aku baca dan gugel di tambah dengan nasihat dari kawan-kawan geng blogger, jadi aku perbaiki mana silapnya aku ajar Raina. Dan taraaaaa tak sampai dua bulan anak aku dah pandai membaca. Aku percaya sekarang Raina tak menghafal lagi. Dia faham satu-persatu apa yang aku ajar. Sebab apa, bila aku uji buku siri baru contohnya, aku tak ajar terus. Aku suruh Raina baca je setakat mana yang Raina tahu. Hasilnya dia boleh membaca walaupun aku belum ajar buku tu lagi. Lagi satu kalau kat dalam kereta ke atau kat luar, Raina suka baca tulisan kat signboard. Mana-mana yang dia faham dan tahu tu, dia akan baca. Masa tu rasa nak menangis terharu sebab anak aku dah boleh membaca.

Ok kat sini aku nak share cara-cara aku ajar anak aku membaca. Mungkin orang lain ada cara lain. Tapi ni cara aku ajar anak aku. Alhamdulilah tak sampai dua bulan Raina dah boleh baca walaupun masih merangkak-rangkak dan belum lancar sepenuhnya. Tapi aku kira ini satu kejayaan buat Raina dan buat aku jugak.

1) Bila nak mengajar anak kenal huruf jangan guna huruf besar. Guna huruf kecik. Contoh ABC tu korang guna abc. Dulu aku silap tau. Aku ajar Raina guna huruf besar. Tapi bila dah sedar kesilapan tu, laju-laju ajar Raina guna huruf kecik. Sebab apa kena ajar anak guna huruf kecik, sebab kebanyakkan kat sekeliling kita menggunakan huruf kecik. So ajar anak huruf kecik dulu then baru ajar anak huruf besar.

2) Ajar anak 5-7 minit je. Pastu rehat sekejap then kalau nak sambung lepas tu boleh sambung. Jangan ajar lama-lama nanti anak stress dan bosan terus dia tak boleh nak tumpukan pada apa yang kita ajar. Dulu masa aku ajar Raina berjam, memang nampak muka Raina stress. Bila aku ajar Raina dalam 5-7 minit memang nampak Raina happy je nak belajar.

3) Jangan gunakan kekasaran time ajar anak seperti nak marah-marah anak. Perbuatan ni akan menambahkan tahap stress anak. Bukan anak je stress. Kau pun sama stress nanti bila ajar anak. Aku masa mula-mula ajar Raina asyik nak jadi tarzan je. Tapi hasilnya memang tak memuaskan aku. Pastu aku terus tukar cara aku ajar Raina. Aku control tahap kemarahan aku. Aku cool je. Bila Raina tak faham dan tak ingat, kita kena rileks dan betulkan dan bagitahu si anak tu apa yang dia tak faham dan apa yang dia tak ingat. Senyum je. InsyaAllah anak akan happy nak belajar. Percayalah cakap aku.

4) Cuba guna bunyi-bunyi yang boleh si anak ingat dan kaitkan bunyi-bunyian tu dengan suku kata. Contoh suku kata 'Na'. Raina Na Na Na Na sambil menyanyi. So Raina akan ingat suku kata 'Na' tu macam nama dia Raina Na Na Na Na. Macam aku kan aku ajar Raina siap beralun-alun siap macam menyanyi kadang-kadang tu. Biar Raina senang ingat.

5) Cuba kaitkan bunyi suku kata dengan benda yang ada kat sekeliling kita. Contoh 'Su' tu kita kaitkan dengan 'botol susu'. Kalau boleh tunjuk botol susu. Selalunya budak akan cepat ingat kalau kita cuba kaitkan suku kata dengan benda yang ada kat sekeliling kita.

6) Tepuk tangan dan puji si anak bila anak faham dan ingat apa yang kita ajarkan kat dia. Kalau boleh kita ciumlah si anak. Raina paling suka kita puji dia. Kalau aku tepuk tangan, Raina pun tepuk tangan sekali. Bukan Raina je. Raifa pun ikut sekali tepuk tangan.

7) Uji si anak bila-bila masa. Macam kalau keluar nampak signboard terus tanya anak : 'Itu huruf apa? Cuba eja dan baca Raina? Raina ingat tak?' So kiranya macam ulang kaji apa yang kita belajar. Sambil-sambil tu nak uji minda anak. Kadang-kadang aku tengah masak kat dapur pun, aku suka uji minda Raina. Sebab Raina rajin teman aku masak kat dapur sambil tolong aku apa yang patut.

8) Bagi reward kat anak supaya anak lebih semangat nak belajar lagi. Baru-baru ni aku bawak Raina tengok wayang dan belikan apa saja yang dia minta. Raina minta cincin, gelang dan macam-macamlah. Aku cakap kalau Raina rajin lagi belajar, nanti mama belanja Raina lagi. Terus lepas tu tak payah nak di suruh lagi, laju je ambil buku baca sendiri. Mana yang dia tak faham, baru dia tanya aku. Memang nampaklah Raina lebih bersemangat.

9) Terangkan tujuan kita ajar anak membaca. Kenapa dia perlu pandai membaca. Kena terangkan supaya anak lebih jelas dan faham.

Rasanya itu je kot cara-cara yang boleh aku kongsi. Kalau korang ada cara lain yang nak di kongsi dengan aku pun boleh jugak. Raina pun masih belajar membaca lagi sebab dia belum lancar sepenuhnya pun. Tapi yang buat aku terharu gembira sangat sekarang ni sebab aku percaya anak aku dah tak menghafal macam dulu tapi dia faham apa yang aku ajar kat dia. Syukur Alhamdulilah

Budak happy sebab mama dia bawak tengok wayang dan bawak pergi jalan-jalan pergi Mid Valley sebab dia dah pandai membaca

Wednesday, April 15, 2015

Cerita mak beranak dua



Dulu masa anak sorang, bila nak belikan apa-apa untuk anak, aku memang jarang fikir panjang. Aku main beli je. Masa anak sorang ni selalunya peruntukan memang lebih. Boleh dikatakan dulu tiap-tiap bulan memang ada je belikan barang untuk Raina terutamanya stok baju-baju Raina. Kalau nak raya, lagilah aku rambang mata. Pernah aku buat perangai luar kawalan, masa tu poket pun tengah tebal, aku habiskan beribu untuk Raina masa persiapan raya. Masuk satu kedai tanpa rasa bersalah habis beratus ringgit kat situ. Pastu keluar shopping lagi. Shopping sampai muntah hijau. Saiful pun dulu rajin melayan. Aku ajak keluar dia mesti setuju je. Cuba sekarang ni, aku ajak keluar macam-macam alasan dia. Nak overtime. Nak rehat kat rumah. Nak pergi service kereta. Cis mengelak sesaja sekarang ni. Sampailah aku buat muncung sedepa, barulah laki aku pujuk ajak keluar dengan anak-anak. Modal aku merajuk dan lancarkan silent treatment. KahKahKah.

Anak sorang bolehlah aku buat macam tu. Sekarang ni bila dah ada dua orang anak, aku kenalah bijak dan berhemah dalam berbelanja. Bijak dan berhemah berbelanja? Kemain statement kau ye Nurul. Bila anak dah dua orang ni, peruntukan tu kenalah bahagi kepada dua orang. Jadi kenalah aku berbelanja secara bijak dan berhemah. Sekarang ni perangai aku tetap sama macam dulu. Jenis tak kisah berbelanja untuk anak-anak jika ada peruntukan. Aku jadi mak budak, aku memang tak nak berkira sangat. Aku kerja pun untuk anak-anak. Rasanya tak salah aku nak bagi diaorang happy. Aku paling suka tau tengok gelagat anak-anak aku happy terlompat-lompat bila aku balik kerja, aku bawak balik something yang baru untuk diaorang. Raifa pun sekarang tak padan dengan keciknya dah sama perangai dengan Raina. Tersengih-sengih suka. Rasa macam Ya Allah aku kerja penat lelah salah-satunya sebab ini, untuk anak-anak. Aku letak mereka kat rumah babysitter belah pagi. Petang baru aku ambil diaorang. Kadang-kadang kalau kerja tengah banyak, malam baru ambil diaorang. Jadi mereka memang berhak untuk ini semua. Sebab tu aku memang tak suka berkira dengan anak-anak. Aku tak ada baju baru aku tak kisah. Aku tak ada kasut baru aku tak kisah. Biar peruntukan tu untuk ke anak-anak.

Tapi jangan ingat aku mewahkan anak-anak aku. Aku tak mewahkan anak-anak tapi cuma bagi mereka keselesaan ikut kemampuan aku seadaanya saja. Kalau aku mampu aku adakan. Kalau aku tak mampu aku duduk diam-diam situ. Kalau aku teringin nak adakan tapi tak cukup peruntukan, aku selalunya akan kerja kuat. Aku buat macam-macam. Aku kerja lebih masa. Macam sekarang aku dengan adik aku niaga kat booth hujung minggu cari duit lebih. Itu prinsip aku. Aku selalu pesan kat anak-anak aku, lagi-lagi Raina yang dah faham apa aku cakap :

'Mama dengan papa pergi work cari duit. Bila dah ada duit, kita boleh beli macam-macam'

'Mama tak suka Raina membazir. Kita bukan orang kaya. Allah marah orang yang suka membazir'

Pernah beberapa kali aku marahkan Raina sebab dia macam tak hargai apa yang aku belikan untuk dia. Maybe Raina tak suka barang tu, so dia tak jaga barang tu. Perangai Raina ni dia memang agak demand sejak dari kecik lagi. Kalau dia kata dia tak minat dan tak suka, dia automatik tak nak jaga atau hargai barang tu. Sampailah aku tegur dan nasihatkan dia.

' Raina tak kasihan kat mama ye? Mama pergi work penat-penat cari duit untuk anak-anak mama. Belikan untuk Raina tapi ini balasan Raina ye. Raina, banyak kali mama cakap, kita bukan orang kaya. Allah marah orang macam ni. Nanti masuk api neraka. Lepas ni mama tak nak belikan untuk Raina lagi. Mama belikan untuk adik je' (kemain aku saiko anak. KahKahKah)


Bila dah ada anak dua orang ni, satu yang kita kena cuba belajar dalam mendidik adalah adil. Kita kena adil dengan setiap anak. Macam aku contohnya satu hari tu, aku jalan-jalan pergi Setia City Mall waktu lunch hour. Masuk Zara Kids jatuh cinta dengan baju. Tapi hanya ada saiz Raifa. Saiz Raina tak ada. Tapi sebab aku suka sangat dengan baju tu, aku beli. Tapi aku akan fikir baik, nanti aku balik rumah, aku cuma bawa baju untuk Raifa, apa kata Raina.

Lagi-lagi anak aku dua-dua perempuan. Aku pulak dari kecik memang dah ajar anak-anak aku pakai baju sedondon. Bukan baju je tapi kebanyakkan semuanya sama. Apa Raina ada. Raifa pun mesti ada. Ada jugak kadang-kadang barang diaorang tak sama dan tak sedondon. Tapi jarang-jarang sangat. Jadi nak bersikap adil, aku kena carikan barang lain untuk Raina. Biar semuanya dapat barang baru. Jadi aku belikan belt baru untuk Raina. Nampak tak perbezaan bila dah ada anak dua orang ni? Kalau dulu anak sorang tak payah nak fikir pasal bab adil. Sekarang aku belajar untuk adil kat anak-anak aku.

Kadang-kadang ada jugak Raina luahkan perasaan :

'Asyik belikan untuk adik je. Raina punya tak ada pun'

Tersentuh hati aku bila Raina cakap macam tu. Bukan tak nak belikan untuk Raina. Tapi kadang-kadang aku belikan lambat sikit. Contoh ada satu situasi tu, aku nak belikan Raifa botol susu baru. Bila dah belikan botol susu Raifa yang baru, adalah aku selit belikan macam-macam untuk Raifa sebab dah masuk kedai baby kan? Biasalah mak budak rambang mata. Bila masuk kedai baby ni, jarang sangat ada barang yang sesuai untuk Raina yang dah besar panjang tu. Jadi aku fikir, ok nanti carikan barang lain untuk Raina. Nak pergi tempat lain carikan barang untuk Raina, tapi dah terkejar-kejar masa nak balik rumah, nak ambil anak-anak kat rumah babysitter. So postpone beli. Terus balik rumah. Balik rumah Raina dah buat muka sedih. 

Selalunya aku tak nak tunggu lama-lama. Takut Raina salah anggap walaupun aku dah terangkan. Jadi aku akan secepat mungkin usaha carikan barang baru untuk Raina. Macam Raifa dia tak tahu apa lagi. Raifa baru setahun dua bulan. Apa yang dia tahu. Orang hulur barang baru dia tersingih-sengih suka je.


Korang tengok gambar kat atas, masa ni aku baru balik dari GM Klang sebab nak carikan rocker untuk Raifa. Bila dah belikan Raifa rocker, nak adil aku belikan Raina beg sekolah baru yang jenis beroda. Sebab Raina dah lama minta beg sekolah beroda. Tapi tengok gambar ni, Raina muka tak puas hati. Sebab aku ada belikan kasut baru Raifa warna hijau. Tapi cari saiz Raina tak jumpa. Raina nak jugak kasut warna hijau sama macam adil dia. Akhirnya, aku dengan Saiful bawak Raina pergi kedai Converse beli kasut Converse warna hijau untuk Raina. Nampak tak macam mana kitaorang nak berlaku adil dengan anak-anak. Ini baru dua orang anak ni. Takpe yang penting anak-anak happy.

Sebenanya bukan mudah ye nak jadi mak yang terbaik kat anak-anak. Walaupun aku ni kadang-kadang jadi tarzan bila marahkan anak-anak kalau diaorang meragam buat perangai, tapi aku cepat lembut hati dan akan cuba buat yang terbaik untuk diaorang. Sebab itu, aku sanggup usaha untuk gembirakan anak-anak aku

Tuesday, April 14, 2015

Raina tukar sekolah ke Genius Aulad

Happy je Raina nak pergi school

Aku rasa aku tak pernah cerita detail pasal sekolah lama Raina tahun lepas kecuali kelas Elmo Raina je kot yang pernah aku  tulis kat sini. Hah ini satu lagi cerita dah basi yang patut awal-awal lagi aku dah tulis kat sini tapi sampai ke sudah tak buat entri ni. Sampaikan Raina dah tukar sekolah pun, aku tak update-update cerita ni kat blog. Ya ampun maafkan aku. Mood menulis macam biskut Chipmore sekarang ni. 

Tahun lepas Raina sekolah kat PASTI. Nama penuh sekolah PASTI tak silap aku Pusat Asuhan Tunas Islam kot. Disebabkan masalah utama adalah transport, jadi aku dengan Saiful buat keputusan untuk tukarkan Raina sekolah ke Genius Aulad. Dulu masa Raina kat sekolah PASTI, aku tak ada masalah besar pun dengan transport. Setiap pagi aku yang hantar Raina ke sekolah. Balik sekolah Raina tumpang seorang ustaz yang aku bayar tiap-tiap bulan. Tapi yang jadi masalahnya, aku selalu sampai office lewat. Selalu sangat bila aku punch merah je kad aku. Sampai dah kena warninglah dengan pihak atasan. Sebab itu, apa cara pun, aku kena tukarkan Raina sekolah demi menjaga prestasi kerja aku. Cewahhh. Kalau korang nak tahu, Genius Aulad memang ada sediakan van sekolah. Jadi sebab itu aku pilih Genius Aulad untuk sekolah baru Raina.

Ada jugak sebab-sebab lain yang terpaksa aku buat keputusan menukarkan Raina sekolah. Memang berat hati nak tukarkan Raina sekolah. Tapi aku terpaksa jugak buat keputusan ni. Antaranya sekolah PASTI sangat padat. Satu kelas tu memang padat bilangan muridnya. Kalau aku hantar Raina ke sekolah, memang nampak kepadatan bilangan murid-murid kat PASTI. Nampak jugaklah cikgu dan ustazah kat PASTI macam payah nak handle murid-murid kat situ. Raina ni jenis tak boleh belajar dalam satu kelas yang ramai sangat budak tau. Nanti Raina mudah hilang fokus dalam kelas. Raina sendiri bagitahu aku yang dia tak selesa sekolah PASTI sebab ramai orang dan agak bising. Dia tak boleh nak belajar rajin-rajin. Raina nak school macam kelas Elmo tak ramai orang. Korang tengok kemain alasan anak dara aku ni tau.

Tapi aku percaya apa yang Raina cakapkan. Sebab memang nampak perbezaan bila Raina kat sekolah Pasti dia jadi tak minat sangat belajar. Dia totally hilang fokus. Berbeza dengan bila dia kat kelas Elmo pada hujung minggu. Walaupun dia kadang-kadang hilang fokus, tapi sebab dalam kelas tak sampai 10 orang, teacher akan cepat-cepat handle Raina bagi balik Raina fokus masa belajar. Raina pun nampak lagi happy ke kelas Elmo berbanding sekolah PASTI.

Mungkin disebabkan kat PASTI terlalu padat dengan budak, apa yang aku perasan, barang Raina selalu sangat hilang. Bila aku check beg sekolah dia mesti ada benda yang hilang. Hari ni hilang pensil. Esok hilang pensil warna. Nanti esok lagi hilang pensil box. Kadang-kadang sesuka hati je Raina bawak balik barang orang lain tapi barang dia sendiri dah hilang. Aku memang bising hal ni. Selalu pesan kat Raina pulangkan balik barang kawan dan nanti cari balik mana barang Raina. Mungkin tertukar dengan kawan dia kot. Sebab dalam kelas terlampau ramai budak sebab tu kot kes-kes macam ni terjadi. Tak pastilah sebab aku cuma agak-agak saja. Aku pun tak nak salahkan sesiapa. Biasalah budak-budak kan.

Raina tersenyum lebar sebab nak pergi trip ke Farm In The City

Lagi satu, aku tukarkan Raina sekolah sebab aku rasa pembelajaran Raina dah tak seimbang. Raina lebih potensi ke subjek agama, hafazan dan bahasa arab. Aku sangat happy bila Raina dah boleh hafal beberapa surah dan tahu macam-macam pasal hal keagamaan. Kalau bab doa pun sama. Raina dah boleh hafal macam-macam doa. Happy sangat aku dengan perkembangan Raina. Tapi bab akademik lain Raina agak merosot. Membaca totally Raina tak boleh. Matematik dan lain-lain pun nampak biasa-biasa je. Maybe salah aku jugak sebab tahun lepas aku cuma tumpukan pada homework Raina je. Tapi aku totally tak ajar Raina membaca. Sebab prinsip aku memang tak boleh nak harapkan cikgu atau ustazah kat sekolah. Kita sebagai mak bapak pun kena main peranan sama ajar anak kita. Tapi bila aku test Raina ABC, 123 pastu test suku kata nak ajar membaca totally Raina tak boleh. Terus aku dah gelabah ayam. Wei apa nak buat ni. Serius aku gelabah. Terus tak senang duduk asyik fikir masalah Raina. Aku dah agak Raina mesti hilang fokus dalam kelas sebab aku tahu kelemahan dia. Sebab ini jugak aku decided tukarkan Raina sekolah.

Sejak Raina tukar sekolah ke Genius Aulad ni, Alhamdulilah nampak banyak perubahan. Genius Aulad tak padat macam Pasti. Nampak yang Raina happy dan lebih semangat nak pergi sekolah. Barang-barang Raina pun setakat ni tak adalah hilang. Kalau ada hilang pun, bila aku tanya mana barang Raina? Esoknya Raina tunjuk dah barang dia. Raina cakap tertinggal kat school. Pastu aku nampak Raina lebih fokus dalam pembelajaran dia. Apa yang dia belajar, balik rumah dia boleh ulang-ulang apa dia belajar. 

Sekarang ni, setiap malam aku buat sesi belajar dengan Raina. Ajar dia membaca guna set buku 'Bacalah Anakku'. Hari tu ada sesi perjumpaan dengan teacher kat sekolah Raina. Aku tanya macam-macam. Dan teacher kelas Raina, teacher Seha bagitahu nampak Raina ok je cuma kena fokus lebih kat dia lagi-lagi bab membaca. Nampak Raina memang happy dalam kelas. Jadi aku belajar dari kesilapan, aku buat sesi belajar membaca dengan Raina. Alhamdulilah sekarang dah nampak hasilnya. Raina dah boleh baca sikit-sikit walaupun merangkak-rangkak. Dalam masa yang sama kadang-kadang aku selitkan pembelajar matematik jugak. Oh paling best Raina dah boleh reti tengok jam jarum tau. Sekarang dia tengok jam jarum nanti dia bagitahu sekarang dah pukul berapa. Cuma adalah part yang dia keliru macam. Contoh jam tunjuk pukul 9.15 nanti dia bagitahu sekarang dah pukul 9  tapi 9 berapa dia kompius nak kira kat situ. Lagi satu, aku nampak Raina dah boleh baca buku bersiri bahasa English. Tak tahulah dia menghafal ke apa. Tapi laju je dia baca buku bersiri tu.

Bagi aku setiap sekolah tu ada kekurangan dan kelebihan tersendiri. Cuma kita kena tahu anak kita ni masalah utama dia apa. Dan kita mak bapak pulak kena tahu masalah kita apa pulak. Macam kes aku masalah transport dan masalah Raina mudah hilang fokus. Sebab tu aku tukarkan Raina sekolah yang bilangan budak dalam kelas sikit supaya senang dia belajar. Bukan sebab aku nak bajet bagus hantar sekolah mahal. Sebab aku sendiri dulu sekolah tadika Perpaduan je. Tapi Alhamdulilah boleh belajar sampai UiTM.

Kalau ikut hati aku, sebenarnya aku nak masukkan Raina ke sekolah pra tahun ni tapi tak ada rezeki Raina sekolah pra. Masukkan je Raina ke Genius Aulad. Yang penting anak pergi sekolah untuk belajar. Apa-apa pun aku nak berterima kasih kat cikgu dan ustazah yang pernah ajar Raina masa kat sekolah PASTI dulu. Sebab kalau nak ikutkan aku lagi rapat dengan cikgu dan ustazah kat sekolah PASTI berbanding cikgu-cikgu kat Genius Aulad. Bagi aku besar jasa-jasa pendidik ni dalam mendidik anak bangsa. Oklah panjang lebar aku tulis hah. Mentang-mentang manager aku tak kerja hari ni. Ok aku nak lunch ni. Jom lunch geng

Aku hanya blogger cap ayam

Hari ni manager aku tak datang. Kerja pun tengah tak banyak. Jadi marilah aku update blog dengan selesa. Banyak sangat cerita yang aku tak update. Tapi malasnya nak buat satu-satu entri yang patutnya aku kongsi bercerita dalam blog ni. Mood menulis merundum habis.

Tapi aku agak terkejut bila aku ke mana-mana ada jugak orang kenal aku sebagai blogger. Blog pun blog cap ayam. Dah lah jarang-jarang update blog. Tak femes pulak tu. Tapi bila ada orang tegur aku :

'Ini Nurul Jamian yang blogger tu kan?'

Terkejut aku sambil tersengih-sengih dan tersipu-sipu malu jawab :

'Ye saya blogger Nurul Jamian tu'

Kadang-kadang ada orang tegur :

Awak blogger kan?

Bila kejadian ini berlaku, aku terfikir satu je, ada orang masih sudi baca penulisan aku. Walaupun penulisan aku kadang-kadang carca marba dan kadang-kadang ada entri yang merepek meraban je. Jadi aku rasa aku patut teruskan minat aku dalam menulis. Aku memang minat menulis. Dulu time sekolah, aku suka subjek karangan selain subjek sejarah. Aku akan buat karangan berhelai-helai kertas sampai tangan aku lenguh dan nak melecet. Dulu aku ada satu hobi tau. Menulis ala-ala skrip drama tu. Berhelai-helai kertas aku menulis. Skrip paling aku ingat, jalan cerita yang aku tulis tu, aku dengan kawan-kawan aku bercinta dengan kumpulan KRU. Pengaruh filem 'AWAS' lah kot dulu siap boleh berangan bercinta dengan kumpulan KRU. Pastu aku baca sambil berangan dan simpan jadi tukun. Hahaha. Dulu aku pernah berangan nak jadi pengarah filem. Kau ingat senang Nurul nak jadi pengarah filem? Biasalah budak-budak pengaruh lebih. Dulu aku rasa aku terpengaruh dengan pengarah Yusuf Haslam. Tengok kutipan filem 'Sembilu' kemain banyak, mulalah berangan nak jadi pengarah filem. Pengaruh sangat. Hahaha.

Bila dah suka menulis, automatik akan suka membaca. Aku memang suka membaca. Sebab tu aku suka beli dan kumpul novel. Sampaikan hantaran tunang dan kahwin aku pun Saiful bagi aku novel satu dulang. Tapi bila umur dah makin meningkat ni, aku dah mula jadi pengumpul buku-buku berunsur keagamaan dan kekeluargaan contohnya. Tapi aku masih tetap suka beli novel dan baca bila ada kelapangan. Disebabkan aku suka subjek sejarah, aku jugak suka kumpul hikayat-hikayat sastera lama. Kalau aku nampak kat kedai buku, aku mesti beli. Nampak tak kat situ betapa minatnya aku dalam dunia penulisan dan pembacaan bahan bacaan macam ni.

Laki aku selalu cakap, cuba datang minat beli buku memasak. Ada jugak faedahnya. Hamboi perli ke tu? Hahaha. Kalau nak tahu itulah masalah aku. Aku tak minat sangat nak beli buku memasak. Bila entah nak terbuka hati tu beli buku memasak. Sebenarnya aku memang tak suka memasak tau dulu. Tapi sejak dah berkahwin dan ada anak ni, aku mulalah belajar masak pastu aku suka cuba pelbagai resipi. So adalah minat nak memasak tu tapi taklah minat mana pun. Minat memasak aku tak boleh lawan minat memasak laki aku. Dia memang suka masak. Perangai aku suka gugel je resipi pastu print kat office bawa balik rumah. Tapi nak beli buku memasak tu memang belum terbuka hati lagi. Laki dah perli tu, kenalah jugak aku beli buku memasak nanti. Hahaha.

Aku harap minat aku dalam penulisan ni dapatlah aku curahkan dalam blog macam dulu-dulu. Tapi sekarang mood menulis tu macam biskut chipmore. Tapi aku cubalah jugak nak menulis kat blog cap ayam aku ni. Aku ni berangannya banyak tau. Nak tulis pasal  itu ini. Macam-macam. Tapi apa yang aku berangankan tu hanya berlegar-legar dalam kepala otak aku je. Lagipun aku agak busy sejak kebelakangan ni di tambah aku malas. Hahaha.

Kadang-kadang aku terharu jugak ada orang tanya aku :

Nurul bila nak update blog? 

Ya Allah serius aku terharu dengan orang yang bertanya macam tu. Sebab korang boleh tertunggu-tunggu bila aku nak update blog. Aku ni hanya blogger cap ayam tau. So bila ada orang tanya macam tu, aku rasa macam di hargai. Terima kasih kat korang. Terima kasih jugak sebab sudi baca penulisan aku yang biasa-biasa ni.

Muah sikit. Eh kenapa nak muah sikit je? Ok muah banyak-banyak. Hahaha

Hai geng. 
Nak jugak selitkan gambar. Motif gambar? Saja suka-suka. Hahaha

Monday, April 13, 2015

Kemaruk shopping oversea

Aku kemaruk shopping kat website oversea ni dari tahun lepas. Perangai aku ni makin menjadi-jadi masa sebelum nak raya tahun lepas. Beberapa kali aku kongsi kos shipping dengan kawan-kawan order baju kat website oversea tu. Ada jugak yang aku tak kongsi kos shipping. Aku order sorang-sorang. Merasalah bayar kos shipping sambil telan air liur. Hahaha. Selain baju aku order seluar jeans, cardigan dan macam-macam lagi. Tapi semuanya untuk Raina dan Raifa. Baju aku dengan Saiful beli kat Malaysia je. Bajet peruntukan semua dah ke anak-anak. Mak bapak pakai baju murah-murah je. Selalu memang macam ni bila dah ada anak-anak. Keperluan untuk anak-anak aku dahulukan berbanding dengan keperluan aku dan Saiful.

Lepas tu aku insaf. Insaf ke? Bukan insaf tapi berehat. Berehat dari shopping kat website oversea. Oversea lah sangat. Eh memang website oversea pun. Fefeling shopping kat Paris. Hahaha. Sebab ada baju yang aku order beli tahun lepas yang tak pakai lagi masa raya pun ada. Selongkar-selongkar almari, terjumpa macam-macam baju siap tag harga tak bukak lagi. Perangai sangat. Time beli tak ingat. Rambang mata. Bila dah beli pakainya asyik baju yang aku suka pakaikan je kat budak-budak tu. Sampai ibu aku tegur :

"Tak ada baju lain ke Raina dengan Raifa ni? Asyik baju ni je"



Bukan tak ada baju lain. Baju yang tak pakai lagi pun ada. Tapi perangai aku suka pakaikan baju kat anak-anak aku yang baju kesukaan aku je biasanya. Baju yang aku tak gemar pakaikan aku jarang pakaikan. Kekadang aku sendiri lupa aku ada beli baju baru pastu kes nak sorok dari Saiful. Sorok-sorok dalam almari sampai lupa nak pakaikan. Perangai sangat kan? Saiful kadang-kadang terjumpa baju yang aku sorokkan tu, mendapatlah aku kena bebel dengan laki. Tapi laki aku dah faham sangat perangai aku suka beli baju anak-anak. Dia bebel kejap je pastu dia tengok anak-anak pakai dia pun suka biasanya.

Sejak minggu lepas, perangai kemaruk nak shopping kat website oversea tu datang balik. Bila dah seminggu aku asyik layan tengok website itu ini, akhirnya semalam aku submit jugak order. Aku order sleepwear yang jenis tak tutup kaki tu je pun. Baju ni bukan stok nak pakai raya pun. Aku yang tak sabar nak try pakaikan ke anak-anak. Ini kes tak sabar nak rasa material brand tu plus sebab corak dia lawa. Lagi satu, aku memang dari tahun lepas cari sleepwear jenis tak tutup kaki. Kebanyakan sleepwear aku beli semua yang jenis tutup kaki. So semalam aku pun submit order. Kongsi shipping dengan geng blogger Reen. Sekarang ni aku angau asyik tengok gambar baju tu selagi tak dapat kat tangan. Hari-hari aku angau kat sleepwear comel tu. Perangai apa kau ni Nurul? Hahaha. Harap material dia best macam brand Next Direct.


Macam biasa aku guna personal shopper tahun lepas, Zura. Sebab service Zura  memang tip top. Cepat dan tak berkira sangat. Zura quota harga murah berbanding personal shopper yang lain. Senang kata dengan Zura ni boleh lebih kuranglah. Peramah pulak tu. Memang kena dengan jiwa aku nak berurusan dengan Zura ni. Orang lain sibuk beli baju raya aku sibuk beli baju pakaian harian. Baju raya nanti aku fikir kemudian. Tema warna pun aku masih terfikir-fikir lagi ni. Apa-apa ganti puasa dulu. Mood ustazah is on. Hahaha

Monday, April 6, 2015

Setahun Raifa Evaqaleefa


  Tengok perut Raifa buncit makan bubur banyak. Raifa memang suka makan. Seronok mama layan selera makan Raifa

Dulu time Raina kemain rajin aku update cerita pasal Raina. Bila time Raifa ni aku jadi macam malas nak update blog. Itu yang entri pasal Raifa tak banyak. Kasihan kamu adik. Maaflah adik. Mama sekarang bila weekend kadang-kadang sibuk berniaga. Kat office pulak ada audit sana sini. Habis audit, nak submit weekly dan monthly report. Dah siap satu kerja, dah nak kena buat report untuk payroll pulak. Macam ni lah kerja makan gaji. Baru nak duduk rileks sikit dah ada kerja lain nak kena buat. Dulu boleh lagi aku duduk rileks sambil mengular layan blog. Hahaha. Sekarang jangan harap sangat aku boleh duduk rileks. Boleh di katakan hari-hari aku ada kerja nak kena siapkan.

Masa Raina umur setahun, aku ada buat entri untuk Raina. Bagi aku entri tu sangat penting sebab senang bila-bila aku nak tahu perkembangan anak-anak, aku boleh refer je entri tu. Biarlah entri panjang lebar sekali pun. Biasanya aku cuba jugak luangkan masa buat satu entri bila tiba hari lahir anak walaupun entri tu lambat tapi aku tetap cuba untuk menulis. Cuma seingat aku, tahun 2013 je kot aku tak buat entri hari lahir Raina yang ke 4 tahun sebab masa tu hormon tak stabil tengah pregnant Raifa. Masa tu mood malas memang melampau-lampau. Sekarang dah ada dua orang anak, jadi aku kenalah adil. Time Raina aku ada buat entri umur setahun. Jadi time Raifa ni kenalah ada entri umur Raifa setahun. Tapi disebabkan aku sekarang pun sibuk memanjang jadi aku kenalah taip secara laju-laju untuk entri ni.

Sepatutnya entri ni aku patut buat pada 23/01/2015 sempena genap umur Raifa setahun. Tapi sebab aku sibuk sangat sekarang ni, tak kiralah kat tempat kerja atau kat rumah. Jadi entri ni aku tangguhkan. Sejujurnya, sampai sekarang aku masih tak percaya Raifa dah setahun. Masih segar kat ingatan aku, kesakitan yang aku alami. Rasa sakit nak lahirkan Raifa berganda rasa sakit kalau nak compare rasa sakit masa nak lahirkan Raina. Jadi sebab itu aku paling ingat rasa sakit masa nak keluarkan puteri kedua aku ni. Alhamdulilah dipermudahakan aku melahirkan puteri kedua aku ni walaupun sakit yang aku alami tersangat hebatnya.

Raifa dan kakak Raina. Sekarang ni diaorang dah rapat sangat. Sampai nak tidur pun Raifa cari kakak dia. Apatah lagi kalau nak makan ke apa-apa je lah. Semua dia cari kakak dia


Untuk Raifa Evaqaleefa,

Mama berharap satu hari nanti, Raifa akan baca entri mama ni. Raifa akan tahu betapa mama berkorban nyawa mama nak lahirkan Raifa dulu. Mama sanggup harung semua rasa kesakitan demi Raifa. Kalau Raifa nak tahu mama mengandungkan Raifa selama genap 40 minggu. Sebab Raifa keluar melihat dunia genap ikut tarikh yang doktor jangkakan. Masa mama dapat tahu mengadungkan Raifa, mama sangat terkejut. Mama memang tak sangka yang mama akan pregnant untuk kali kedua dalam masa yang mama tidak terjangka. Tapi mama tahu Allah S.W.T itu bijak aturkan jalan hidup mama, papa dan kakak Raina. Kakak Raina dah besar dan perlukan teman untuk bermain dan berbual. Mama tahu inilah masa yang sesuai bagi teman untuk kakak Raina. Seperti masa kakak Raina dulu, mama jaga kandungan dan pemakanan mama penuh displin ketika adik masih dalam perut. Malah rasanya lebih dari tu sebab mama dah kumpul banyak ilmu tentang pregnancy. Maklumlah masa time kakak Raina dulu mama kurang ilmu jadi mama buat yang terbaik ikut apa yang ilmu mama ada ketika itu. Mama tak kisah pasal duit. Mama sanggup berjimat-cermat untuk mama beli  macam-macam semua demi Raifa supaya dapat khasiat dari pemakanan mama walaupun Raifa masih dalam perut.

Kalau Raifa nak tahu, dulu mama alahan agak teruk. Keadaan ni sangat berbeza. Sebab dulu time mama mengandungkan kakak Raina, mama tak ada alahan yang teruk macam masa mama mengandungkan Raifa. Mama muntah-muntah, pening kepala, tak selera makan, tak boleh nak masak sebab mama tak boleh nak bau minyak masak. Berbulan-bulan lamanya mama gantung kuali sebab tak boleh nak masak. Berbulan-bulan lamanya mama tak kemas rumah, tak lipat kain. Rumah macam kapal karam bersepah sana sini. Mama buat apa yang mama mampu je. Sebab awal-awal kandungan, mama hanya mampu menangis menahan sakit kepala dan loya. Mama lagi suka baring dan tidur. Mama ingat lagi dulu, asal pagi-pagi mama nak pergi kerja, mama mesti nak menangis mengadu kat papa. Mama log out Facebook selama berbulan-buan sebab mama allegic sangat dengan Facebook. Tapi yang peliknya mama boleh layan twitter. Hahaha. Totally hormon mama berubah sama sekali ketika mama mengandungkan Raifa dulu.

Akhirnya waktu yang di tunggu-tunggu pada 23/01/2014, lahirlah puteri kedua mama ni. Alhamdulilah walaupun rasa sakit yang berganda tapi dipermudahkan. Mama rasa mudah nak melahirkan kamu Raifa. Syukur Alhamdulilah. Dulu masa Raifa masih newborn, memang tak nafikan agak senang mama nak menjaga Raifa. Lagi satu Raifa tak demand macam kakak Raina. Kakak Raina dari kecik sampai sekarang memang agak demand. Hahaha. Lagi satu, Raifa time panas pun elok je tidur. Kalau kakak Raina dulu sampai kena gelar 'puteri lilin' sebab tak boleh panas langsung. Mama melihat perkembangan Raifa dari Raifa tak pandai apa-apa sampai Raifa dah pandai dan belajar macam-macam sekarang ni. Alhamdulilah. Mama nak tuliskan semua perkembangan Raifa dalam entri ni supaya nanti bila Raifa dah besar nanti bolehlah Raifa baca apa yang mama tuliskan ni.

 Gambar terbaru Raifa. Sekarang ni dia kemaruk nak berjalan je

Usia 3 bulan : Raifa belum pandai meniarap.Tapi dah boleh mengiring. Tapi mama tak risau pun sebab mama tahu Raifa akan meniarap jugak kalau Raifa dah bersedia.

Usia 4 bulan : Raifa baru pandai meniarap. Masa ni Raifa jugak dah boleh berguling-guling.

Usia 6 bulan : Masa ni Raifa aktif mara ke depan. Tak pandai lagi duduk dengan sendiri. Walaupun Raifa agak lambat pandai duduk dan merangkak, tapi mama rileks je tak risau apa-apa. Mama memang tak nak push Raifa. Biar Raifa belajar sendiri bila Raifa dah ready untuk belajar.

Usia 7 bulan : Raifa dah laju merangkak dan dah boleh berdiri dan berpaut kat mana-mana kerusi, meja makan atau sofa. 

Usia 8 bulan : Masih progress yang sama merangkak dah laju. Dah makin kemaruk berdiri dan panjat.

Usia 9 bulan : Baru pandai duduk sendiri. Memang agak lambat. Kakak Raina dulu 6 bulan dah boleh duduk sendiri.  Masa ni mama ada rasa risau sikit sebab tengok anak kawan-kawan smama ebaya Raifa dah boleh duduk sendiri tapi Raifa agak lambat. Tapi mama buat-buat cool. Hahaha.

Usia 11 bulan : Dah boleh lepas tangan bila berdiri sendiri. Dah boleh menapak satu dua langkah pastu Raifa tak nak buat. Raifa lagi suka merangkak dari belajar bertatih.

Usia 12 bulan : Genap Raifa 12 bulan baru nampak Raifa bersungguh-sungguh belajar bertatih dan berjalan bertapak-tapak. Alhamdulilah akhirnya Raifa dah boleh berjalan genap umur Raifa setahun.

Mama harap Raifa menjadi anak yang solehah dan mendengar kata. Mama harap Raifa menjadi manusia yang berguna kelak. Mama bersyukur kerana mama di beri peluang dikurniakan Kakak Raina dan Raifa penyeri hidup mama, papa, atok, tok wan, ummie ngah dan pak usu. Keletah Raifa sekarang betul-betul mencuit hati mama. Mama sayang anak-anak mama.

Selamat hari ulangtahun yang pertama untuk Raifa Evaqaleefa